BATU NIAH: Seekor tenggiling seberat 15 kilogram (kg) selamat dibebaskan semula di hutan Taman Negara Niah oleh Kapitan Pui Kuan Pheng di sini, semalam.
Kapitan Pui yang merupakan salah seorang ketua kaum masyarakat Cina Batu Niah ketika ditemui Utusan Sarawak berkata, tenggiling itu dibeli dengan harga ratusan ringgit daripada seorang individu tidak dikenali.
Katanya, tugas sebagai seorang ketua kaum bukan hanya menjaga keamanan kemasyarakatan malah keselamatan kehidupan haiwan liar turut dilindungi.
Kapitan Pui juga menggunakan wang saku sendiri untuk membeli haiwan liar yang terlindung daripada pelbagai individu tidak dikenali.
“Banyak haiwan liar saya beli, pembelian itu bukan untuk dipelihara tapi untuk dibebaskan demi keselamatan haiwan.
“Antara yang pernah saya beli ialah ular sawa, burung keruak, biawak, lelabi, kura-kura, ikan, tenggiling dan sebagainya,” jelasnya.
Tambahnya, haiwan yang dibeli selalunya dibebaskan di hutan Taman Negara Niah dan jika lelabi, kura-kura, ikan dan hidupan sungai, ia dibebaskan di Sungai Niah.
Beliau turut menekankan bahawa haiwan liar sebaiknya dibiarkan bebas di habitat asal sebagai sebahagian daripada komuniti hutan.
Oleh Adum Liu