Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • JPNS sediakan persiapan rapi pastikan SPM 2025 Sarawak lancar – Omar Mahli
  • PENDIDIKAN

JPNS sediakan persiapan rapi pastikan SPM 2025 Sarawak lancar – Omar Mahli

Utusan Sarawak 6 hours ago
TINJAU… Omar Mahli meninjau peperiksaan SPM di SMK Penrissen No.1, Padawan, hari ini.

PADAWAN: Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli, berkata Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) telah membuat persediaan rapi bagi memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjalan lancar di seluruh negeri.

Katanya, persediaan itu termasuk pelaksanaan Operasi Payung untuk menghadapi banjir serta kerjasama erat dengan agensi penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA dan agensi kerajaan lain.

“Kita sudah membuat persediaan rapi sekiranya akses jalan terputus, khususnya di kawasan luar bandar. Berdasarkan pengalaman tahun lalu, sekitar empat hingga enam sekolah berdepan isu jalan utama yang tidak boleh dilalui walaupun bangunan sekolah tidak dinaiki air,” katanya selepas meninjau perjalanan hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penrissen No.1, Padawan, hari ini.

Beliau berkata calon yang terjejas boleh menggunakan pusat peperiksaan alternatif atau tinggal di asrama sepanjang peperiksaan bagi memudahkan kehadiran. 

CALON SPM SMK Penrissen No.1, Padawan, yang hadir sempena hari pertama SPM.

Pihak sekolah juga bekerjasama dengan agensi penyelamat untuk mengangkut calon dari kampung sekiranya diperlukan bagi memastikan tiada calon tercicir hanya kerana faktor bencana.

Di SMK Penrissen, calon terdiri daripada 296 lelaki dan 260 perempuan, dengan 21 mata pelajaran ditawarkan. 

Sekolah turut menyediakan kemudahan khas kepada empat calon berkeperluan khas, termasuk seorang pemegang kad OKU dan dua calon menggunakan kerusi roda.

CALON SPM SMK Penrissen No.1, Padawan berbaris menuju ke bilik peperiksaan.

Seramai 41 petugas, termasuk lapan sukarelawan, bertugas di tiga pusat peperiksaan sekolah berkenaan, manakala JPNS melantik 2,705 petugas seluruh negeri bagi menjamin kelancaran peperiksaan.

Omar menasihati semua calon agar menumpukan perhatian, menjaga kesihatan, dan yakin dengan diri sendiri, manakala petugas peperiksaan digalakkan melaksanakan tanggungjawab dengan integriti tinggi bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.

Seramai 556 calon SPM 2025 di SMK Penrissen No.1, Padawan, hadir untuk menduduki peperiksaan hari pertama, menunjukkan semangat tinggi menghadapi cabaran akademik, termasuk persiapan menghadapi musim tengkujuh dan sebarang kemungkinan bencana.

Statistik pencapaian menunjukkan SMK Penrissen merekodkan peratus kelayakan sijil sebanyak 89.32 peratus dalam SPM tahun lalu dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 5.37, meningkat berbanding 2023 yang mencatatkan GPS 5.42.

Bagi SPM 2025, seramai 36,843 calon menduduki peperiksaan di 259 pusat peperiksaan seluruh Sarawak sehingga 23 Disember 2025, termasuk 556 calon di SMK Penrissen No.1 Padawan.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: SPM berjalan lancar seluruh negara seperti dijadualkan – KP Pendidikan
Next: Eksklusif: Kekosongan Guru Besar, Pengetua diatasi melalui pelantikan NPQEL dan GBI

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.