
KUALA LUMPUR: Beberapa laman web tempatan, termasuk beberapa portal berita, tidak dapat diakses hari ini susulan masalah kemerosotan perkhidmatan dalaman yang dialami Cloudflare.
Cloudflare ialah sebuah syarikat global yang menyediakan infrastruktur dan keselamatan Internet.
Dalam kemas kini hari ini, Cloudflare memaklumkan bahawa mereka telah membuat perubahan yang membolehkan perkhidmatan Access dan WARP pulih, dengan kadar ralat kembali ke paras sebelum insiden.
Syarikat itu berkata mereka masih berusaha untuk memulihkan perkhidmatan yang terjejas.
Dalam kemas kini terbaharu, Cloudflare menyatakan bahawa ia masih meneruskan usaha untuk memulihkan perkhidmatan untuk pelanggan perkhidmatan aplikasi.
Sementara itu, pengendali bursa tempatan Bursa Malaysia Bhd dalam hantaran di platform X berkata pada masa ini, platform mereka tidak dapat diakses disebabkan gangguan global Cloudflare.
“Kami akan memberikan maklumat terkini sebaik sahaja kami beroperasi semula. Kami memahami kesulitan yang berlaku akibat gangguan ini dan memohon maaf dengan tulus ikhlas.
“Kami sedang memantau situasi ini dengan teliti dan berharap dapat memulihkan perkhidmatan sepenuhnya dalam masa terdekat,” kata Bursa Malaysia.- Bernama