
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, hari ini telah menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia di kediaman rasmi beliau di sini.
Delegasi DBP diketuai oleh Ketua Pengarah DBP Malaysia, Dr. Hazami Jahari, bersama Editor, Zawinnajah Md. Kaslan, Penolong Pengarah, Nasir Hamid, Pegawai Khas kepada Ketua Pengarah, Muhammad Izzat Ishak dan Jurufoto, Zaihiddin Semawi.
Kunjungan itu bertujuan untuk mengadakan sesi perbincangan ilmiah berkaitan penerbitan buku terbaharu hasil penulisan Tun Wan Junaidi sendiri, yang sedang dalam proses akhir untuk diadakan semakan penuh oleh pihak DBP.
Dalam sesi tersebut, perbincangan juga menjurus kepada aspek kandungan, struktur penulisan dan penceritaan, ciri-ciri penerbitan, serta penambahbaikan dari segi penyuntingan dan reka bentuk naskhah agar hasil akhir buku tersebut dapat diterbitkan dengan kualiti ilmiah dan estetika yang tinggi.
Tun Wan Junaidi turut berkongsi pandangan serta aspirasi beliau mengenai kepentingan dokumentasi sejarah, pengalaman dan idea pemimpin negeri dalam bentuk penulisan ilmiah sebagai warisan intelektual untuk rujukan generasi akan datang.
Tun Wan Junaidi menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr. Hazami Jahari, atas kunjungan tersebut serta merakamkan penghargaan kepada pihak DBP atas komitmen dan profesionalisme yang ditunjukkan dalam memastikan karya berkenaan diterbitkan secara teratur dan berkualiti.
Beliau turut menyatakan harapan agar penerbitan itu kelak menjadi sumbangan yang berharga serta rujukan bermakna kepada semua lapisan masyarakat.