
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Norway ke Malaysia yang baharu, Her Excellency (HE) Marianne Folsan, di Astana Negeri.
Mengiringi beliau dalam kunjungan tersebut ialah Timbalan Ketua Misi, Knut Oyvind Granli, Pelatih di Kedutaan, Elisabeth Rapp serta Pengarah Bahagian Hal Ehwal Serantau, Kementerian Luar Negeri Dato Fenny Nuli.
Kunjungan hormat ini bertujuan untuk memperkenalkan diri secara rasmi serta mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dan kerjasama dua hala antara Kerajaan Norway dan Sarawak.

Dalam perbincangan dua hala yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh hormat itu, Tun Wan Junaidi dan HE Marianne Folsan turut membincangkan pelbagai agenda bersama termasuk kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, kelestarian alam sekitar, perdagangan, pendidikan, serta pembangunan ekonomi baharu berasaskan teknologi hijau.
HE Marianne Folsan menyatakan kesediaan pihak Norway untuk berkongsi kepakaran dan teknologi terkini dalam bidang tenaga hijau dan kelestarian alam sekitar, memandangkan Norway merupakan antara negara peneraju global dalam industri tersebut.
Tun Wan Junaidi dalam pertemuan itu menekankan bahawa inisiatif tenaga hijau adalah selaras dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri maju dan berdaya tahan menjelang 2030, melalui pembangunan ekonomi yang mampan serta berteraskan inovasi teknologi hijau.

Beliau turut menyatakan bahawa kerjasama strategik dengan Norway akan membuka peluang pelaburan baharu, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, dan memperkukuh daya saing Sarawak dalam ekonomi hijau global.
Tun Wan Junaidi menyatakan keyakinan bahawa hubungan erat antara Sarawak dan Norway akan terus berkembang, khususnya dalam pelaksanaan projek tenaga bersih, pendidikan, serta ekonomi inovatif yang memberi manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua negara.