

LOS ANGELES: Penyanyi rap terkenal, Cardi B, mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan peminat selepas mendedahkan bahawa beliau tidak mencuci rambutnya selama hampir tiga bulan.
Dalam satu sesi siaran langsung di Instagram awal minggu ini, penyanyi berusia 33 tahun itu secara terbuka mengakui sudah lama tidak membersihkan rambutnya, sambil berseloroh bahawa mungkin terdapat ‘telur lipas dalam rambutnya’.
“Saya kena letak minyak pada kulit kepala, sebab esok saya nak uruskan rambut sebenar saya,” katanya semasa siaran langsung itu.
“Saya akan cuci esok, kemudian pada Rabu saya akan anyam,” tambahnya sebelum mengakui, “Sebenarnya saya dah tak cuci rambut saya ni selama dua bulan… sebenarnya, lebih kurang tiga bulan.”
Cardi B, yang juga ibu kepada tiga anak, turut bergurau bahawa mungkin terdapat “segala jenis telur lipas dan telur nyamuk” pada rambutnya sambil menepuk kepalanya.
Pengakuan itu segera mengundang reaksi negatif daripada para pengikut di media sosial.
Ramai meluahkan rasa terkejut dan jijik selepas video tersebut dimuat naik semula oleh pengguna lain.
“Saya rasa nak muntah betul,” tulis seorang pengguna di ruangan komen, manakala yang lain menyifatkan pengakuan itu sebagai ‘tidak wajar’ untuk dikongsikan secara terbuka.
Setakat ini, Cardi B belum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung kontroversi tersebut. – Agensi