KUALA LUMPUR, 12 November: Selepas hampir lima tahun menyepi, penyanyi Dinie Rashid kembali mewarnai industri muzik tanah air menerusi naskhah terbaharunya Jangan Mati Di Sini, yang diinspirasikan daripada kisah hidupnya sendiri.
Dinie, atau nama sebenarnya Muhammad Dinie Abdul Rashid, 34, yang merupakan orang kurang upaya penglihatan akibat sindrom macular dystrophy sejak berusia sembilan tahun, berkata lagu itu membawa mesej tentang kekuatan untuk bangkit daripada ujian kehidupan.
“Saya dilahirkan dengan penglihatan normal sebelum kehilangan nikmat itu ketika berusia sembilan tahun. Lagu ini mengisahkan seseorang yang pada asalnya mempunyai kehidupan sempurna, tetapi tiba-tiba kehilangan sesuatu yang berharga.
“Jadi… bagaimana dia hendak bangun semula dan meneruskan kehidupan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran rasmi poster dan treler filem Takdir Terakhir: Last Dive serta pertandingan nyanyian lagu runut bunyi (OST) filem berkenaan di sini, semalam.
OST itu merupakan ciptaan Sharon Paul manakala liriknya ditulis bersama-sama Dinie dan Emr serta disiapkan dalam tempoh kira-kira dua minggu.
“Sebenarnya saya sudah ada lagu lain yang dirancang untuk single baharu, tetapi apabila Sharon menawarkan peluang menghasilkan lagu untuk filem ini, saya rasa tidak boleh lepaskan peluang kerana ceritanya sangat dekat dengan diri saya,” katanya.

Menyedari landskap industri muzik banyak berubah sepanjang ketiadaannya, Dinie yang pernah menyandang gelaran Artis Lelaki Baharu Popular Anugerah Bintang Popular ke-34 mengakui perlu menyesuaikan diri dengan trend semasa selain membina semula nama dalam kalangan peminat.
“Memang susah hendak bertatih semula. Kalau enam bulan tidak muncul pun orang boleh lupa, apatah lagi lima tahun. Trend muzik juga sudah berubah. Saya anggap kali ini seperti bermula daripada kosong.
“Saya akui takut dan sangat gementar, tetapi saya percaya masih ada rezeki serta orang yang menyokong saya, terutama ibu bapa,” katanya, berharap karya itu mendapat sambutan pendengar sebagai langkah pertama untuk kembali aktif dalam industri.
Mengulas tempoh “kehilangannya” sejak 2021, Dinie berkata beliau berbuat demikian bagi menumpukan perhatian pada pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, demi memenuhi hasrat ibu bapanya.

“Pada mulanya saya ingat hendak berhenti sekejap sahaja, mungkin setahun atau dua tahun. Memang ada rasa sedih kerana ketika itu kerjaya saya baru hendak berkembang. Saya juga bimbang orang akan melupakan saya,” katanya.
Bagaimanapun, perjalanan hidupnya diuji apabila dua sahabat baik yang banyak membantu urusan hariannya meninggal dunia. Ditambah pula dengan kegagalan dalam hubungan peribadi sehingga beliau mengalami kemurungan dan terpaksa menangguhkan pengajian yang kini berbaki dua semester.
Keadaan itu turut menyebabkan bekas peserta Big Stage ini mengasingkan diri selama hampir dua tahun dan hilang keyakinan untuk kembali membuat persembahan pentas.
“Saya pernah sampai di satu tahap hanya duduk bersendirian di dalam bilik dan tidak keluar. Dalam rumah pun saya tidak menyanyi, malah hendak naik ke pentas pun sudah tidak berani.
“Saya berjumpa dengan ahli terapi dan pakar psikiatri. Mereka menasihati saya supaya kembali melakukan perkara yang pernah saya suka, termasuk berjumpa orang, bersenam dan menyanyi. Alhamdulillah, dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan, saya mula menyanyi semula sedikit demi sedikit,” katanya. – Bernama





