Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Dari ‘Jom ikut ayah mancing’, Zainulariffin Zaidi jadikan hobi sumber rezeki menjana pendapatan sampingan
  • INSPIRASI

Dari ‘Jom ikut ayah mancing’, Zainulariffin Zaidi jadikan hobi sumber rezeki menjana pendapatan sampingan

Utusan Sarawak 23 hours ago
KENANGAN… Zainulariffin bersama bapanya, Zaidi atau Jd Barracuda, yang memperkenalkan beliau kepada dunia memancing, detik awal yang kemudiannya mencetuskan minat mendalam hingga lahirnya jenama Brader Jigger.

KUCHING: Apa yang bermula dengan ajakan ringkas, “jom ikut ayah mancing”, kini menjadi sebahagian besar kehidupan dan sumber rezeki buat Zainulariffin Zaidi, 33, anak jati Kuching yang menjadikan dunia memancing sebagai satu perjalanan jiwa.

Bagi Zainul, memancing bukan sekadar hobi atau aktiviti di waktu senggang, tetapi satu terapi yang menyihatkan minda dan tubuh, selain membuka peluang menjana pendapatan sampingan melalui jenama barangan pancing miliknya, Brader Jigger.

“Bagi saya, memancing bukan sekadar hobi. Ia kegiatan yang menyihatkan dan memberi ketenangan apabila dapat berkumpul bersama rakan-rakan sambil menikmati keindahan alam apatah lagi bila berjaya menaikkan ikan sasaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.

ZAINULARIFFIN bersama hasil tangkapan Yellow Fin Tuna dan Ruby Snapper, dua spesies buruan laut dalam yang menuntut ketahanan dan ketekunan tinggi di perairan Luconia.

Katanya, kenangan berjaya menewaskan ikan sasaran menggunakan kerisi marine 4 yang diturunkan dari Bintulu masih segar dalam ingatan.

“Rasa itu takkan hilang walaupun ikan sudah dibawa pulang. Ia akan terus terbayang di fikiran dan membuatkan kita ingin turun lagi,” ujarnya.

Menganggap Laut Luconia sebagai ‘syurga laut dalam’, Zainul menyifatkan lokasi itu sebagai destinasi impian setiap kaki pancing yang wajar dijejaki sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Namun di sebalik keindahan dan kepuasan yang diperoleh, dunia memancing laut dalam bukan tanpa cabaran. Tempoh perjalanan yang panjang dan keadaan laut yang tidak menentu menuntut persediaan fizikal serta mental yang rapi.

TANGKAPAN Lotun dan Suno Tiger menjadi bukti kemahiran serta pengalaman luas Zainulariffin dalam dunia pancingan laut dalam, sekali gus menambah koleksi berharga sepanjang ekspedisinya di perairan Luconia.

“Dari segi fizikal, aktiviti seperti jigging di kedalaman melebihi 100 meter memerlukan kekuatan tangan, bahu dan ketahanan badan. Setiap kali jig dijatuhkan, tenaga digunakan untuk mengekalkan rentak dan teknik apatah lagi apabila ikan bersaiz besar menyambar umpan,” jelasnya.

Katanya lagi, cabaran sebenar di Luconia bukan hanya pada tenaga, tetapi juga pada kekuatan mental. Pemancing perlu bersabar menghadapi saat-saat sunyi tanpa sambaran dan arus deras yang mencabar.

Namun dengan pemilihan peralatan yang sesuai, teknik yang betul dan semangat yang tinggi, hasil yang diimpikan tetap mampu diperoleh.

SOKONGAN… Rakan-rakan dan komuniti pemancing turut memberi sokongan terhadap usaha Zainulariffin memasarkan barangan pancing di bawah jenama Brader Jigger.

Kini, sambil terus aktif dalam dunia memancing, Zainul giat memasarkan pelbagai barangan pancing di bawah label Brader Jigger, menjadikan hobi yang diwarisi daripada ayahnya itu bukan sekadar minat, tetapi juga sumber pendapatan yang membuahkan kepuasan tersendiri.

Oleh Shikin Mahmud

BRADER JIGGER… Antara barangan pancing keluaran jenama tempatan Brader Jigger yang digunakan sendiri oleh Zainulariffin dalam setiap ekspedisi laut dalamnya.

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Basri pemancing tegar temui makna hidup di hujung joran
Next: Eksklusif: Dari Kampung Long Bemang ke pentas negeri, Mujan Lah inspirasi wanita usahawan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.