SPAOH, 12 November: Seramai 34 peserta Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Halia Bentong di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban menerima bantuan input pertanian bagi mempergiat aktiviti penanaman halia secara fertigasi, sekali gus mengurangkan kos pengeluaran.
Bantuan berkenaan disalurkan kepada peserta dari lima rumah panjang, iaitu Jukun, Engkerbai, Lempaong Anyut, Linggit dan Udau, menerusi program anjuran Lembaga Kemajuan Tanah (SLDB) dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban.
Menariknya, bantuan itu diagihkan secara terus kepada setiap peserta di rumah panjang masing-masing bagi memastikan keperluan pertanian sampai kepada golongan sasar.
Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif PROSPEK di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang memberi tumpuan kepada peningkatan sosioekonomi masyarakat luar bandar melalui pembangunan ekonomi di kampung sedia ada.
Di Bahagian Betong, SLDB bertindak sebagai agensi pelaksana, manakala Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) menyelaras pelaksanaan projek di peringkat negeri.
Bagi membantu peserta memulakan aktiviti penanaman dengan lebih teratur, bantuan yang disediakan merangkumi benih, media tanaman, baja, racun, sistem pengairan, peralatan pertanian serta bahan untuk penyediaan kawasan tanaman.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek itu merupakan antara usaha untuk membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat luar bandar menerusi aktiviti pertanian yang berpotensi menjana pendapatan.
Menurut beliau, bantuan input pertanian yang disalurkan dapat mengurangkan kos permulaan yang perlu ditanggung peserta, sekali gus memudahkan mereka mengembangkan perusahaan tanaman halia.
“Melalui projek ini, kita mahu membantu pekebun kecil mengembangkan penanaman halia.
“Bantuan input yang disalurkan dapat mengurangkan kos permulaan yang perlu ditanggung peserta, selain membantu mereka melaksanakan aktiviti penanaman dengan lebih teratur,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban menegaskan bahawa komitmen dan kesungguhan peserta dalam menguruskan tanaman amat penting bagi memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan secara berterusan serta memberikan pulangan yang baik.
Katanya, peserta perlu melihat projek itu sebagai peluang menjana pendapatan dan bukan sekadar menghasilkan tanaman untuk kegunaan sendiri.
“Kita mahu peserta mengusahakan projek ini dengan bersungguh-sungguh dan melihatnya sebagai peluang menjana pendapatan, bukan sekadar untuk kegunaan sendiri.
“Dengan pengurusan yang baik, projek ini berpotensi dikembangkan secara komersial,” katanya.
Selain projek fertigasi Halia Bentong, PROSPEK di kawasan DUN Bukit Saban turut merangkumi projek penternakan ayam kampung secara organik yang melibatkan 17 peserta.
Kedua-dua projek itu mencerminkan usaha memperluas kegiatan ekonomi berasaskan pertanian dan penternakan bagi mewujudkan peluang pendapatan yang lebih mampan, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar.
Oleh Adi Safarman




