
KUCHING: Ruang terbuka di Lorong Bayor Bukit 14 kini tampil dengan wajah baharu selepas siap dinaik taraf hasil usaha Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bersama Jabatan Landskap Negara (JLN) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata kerja naik taraf tersebut yang dilaksanakan dengan kos keseluruhan sebanyak RM495,000 dijalankan di bawah Program Pembangunan Landskap Persekitaran Kehidupan, bermula pada 11 Jun lalu dan siap pada 1 Oktober lalu, sebelum diserahkan secara rasmi hari ini.
“Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, kawasan ini telah berubah menjadi taman yang indah, ceria dan mesra komuniti,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan siap projek di tapak berkenaan, hari ini.

Menurut beliau, projek ini menunjukkan bagaimana kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan dapat membawa perubahan nyata yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Antara kemudahan yang disediakan di taman berkenaan ialah laluan pejalan kaki dengan sistem perparitan sempurna, permainan kanak-kanak, peralatan senaman luar, gazebo, meja ping pong konkrit, permainan ketingting, lampu tenaga solar serta penanaman pokok dan tumbuhan baharu.

“Kemudahan ini bukan sahaja menjadikan kawasan lebih selamat dan hijau, malah memberi peluang kepada semua golongan masyarakat untuk beriadah; kanak-kanak boleh bermain, orang dewasa bersenam, dan warga emas berjalan serta berehat dengan selesa,” tambahnya.

Kerja menaik taraf taman tersebut telah dilaksanakan oleh SHUMS Enterprise melalui proses tender terbuka dan disiapkan mengikut jadual.
Oleh Amanda L