
KUCHING: Kemeriahan Pasar Tani Semula Jadi Kuching (KNFM) menyajikan pelbagai hasil segar dan organik terus mencuri tumpuan apabila sekali lagi mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai di pekarangan tempat letak kereta berbumbung Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), di sini, hari ini.

Program anjuran MBKS dengan kerjasama komuniti Pasar Tani Semula Jadi Kuching (KNFM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan alam sekitar itu bertujuan memupuk kesedaran tentang kepentingan pertanian mampan dan penggunaan produk semula jadi dalam kalangan masyarakat bandar.
Pelbagai jualan menarik berasaskan organik dan semula jadi ditawarkan, antaranya sayur-sayuran segar, buah-buahan tempatan, herba, madu asli, produk tenusu buatan sendiri, serta makanan sihat tanpa bahan pengawet.

Turut dijual ialah tanaman hiasan dan pokok herba yang mendapat perhatian pengunjung yang gemar berkebun.
Inisiatif seperti ini bukan sahaja membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka, tetapi turut mendidik masyarakat tentang manfaat mengamalkan gaya hidup sihat dan mesra alam.

Menariknya, edisi kali ini turut dimeriahkan dengan persembahan tarian yang menceriakan suasana dan menambah warna-warni kepada pasar tani tersebut — menjadikannya bukan sekadar destinasi membeli-belah, tetapi juga lokasi santai keluarga yang menyuburkan semangat komuniti.
Tahun ini juga menandakan ulang tahun ketiga penganjuran Pasar Tani Semula Jadi Kuching (KNFM) sejak ia mula diperkenalkan di sini.

Sepanjang tiga tahun pelaksanaannya, pasar tani ini berjaya membina komuniti kukuh antara pengusaha, pengguna dan pencinta alam yang sama-sama menyokong amalan pertanian lestari serta penggunaan produk tempatan yang sihat.
Penganjuran yang konsisten saban tahun turut membuktikan komitmen MBKS dalam memperkasa ekonomi hijau di peringkat bandar raya, di samping menjadikan Kuching sebagai contoh bandar yang prihatin terhadap kesejahteraan alam sekitar dan kesihatan masyarakatnya.
Oleh Norman B