

IPD Lubok Antu melancarkan Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah di kawasan sekitar Lubok Antu dan Engkilili, semalam. FB IPD Lubok Antu
LUBOK ANTU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu melancarkan Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah semalam bagi memastikan daerah berkenaan kekal aman dan bebas daripada aktiviti jenayah serta penyalahgunaan dadah.
Operasi yang dijalankan dari 3.00 petang hingga 6.00 petang itu melibatkan kawasan sekitar Lubok Antu dan Engkilili dengan penyertaan pegawai serta anggota dari pelbagai jabatan dalam pasukan polis.
Menurut kenyataan IPD Lubok Antu, operasi berkenaan bertujuan menurunkan kadar jenayah indeks, membanteras kegiatan jenayah dan dadah, meningkatkan kehadiran polis di kawasan hotspot, serta mengesan individu dan kenderaan yang mencurigakan.
“Sepanjang operasi, sebanyak 66 individu dan 66 kenderaan telah diperiksa.
“Polis turut mengeluarkan 11 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” menurut kenyataan itu.
IPD Lubok Antu berkata, operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam di Daerah Lubok Antu sentiasa berada pada tahap terbaik.
Oleh Adi Safarman