
LAWAS: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terus memainkan peranan penting sebagai agensi kerajaan yang dekat dengan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata KEMAS memberi impak besar melalui sumbangannya dalam pendidikan awal kanak-kanak, kelas literasi dewasa serta latihan kemahiran kepada golongan wanita dan belia.
“Kewujudan KEMAS sudah lama dan sangat dekat dengan masyarakat akar umbi. Mereka bukan sahaja menumpukan kepada pendidikan awal, malah berperanan menyeluruh dalam pembangunan keluarga, komuniti dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sinergi KEMAS Santunan Desa di Kampung Punang, Lawas, semalam.
Awang Tengah yang juga Pengerusi Penyelaras Kegiatan KEMAS di Sarawak turut menggesa agar projek Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lawas yang telah lama diluluskan dapat segera dilaksanakan.
“Kita harap pihak kementerian di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan MRSM Lawas ini,” tegasnya.

Dalam ucapannya, beliau turut menggesa agar latihan kemahiran untuk wanita dan belia luar bandar diperluaskan, khususnya dalam aspek pemprosesan dan penjenamaan produk tempatan.
“Latihan seperti ini penting agar masyarakat desa dapat meningkatkan nilai tambah kepada produk kampung masing-masing dan menjana pendapatan lebih baik,” tambahnya.
Program Sinergi KEMAS Santunan Desa yang bermula sejak Jumaat lalu turut merangkumi pelbagai aktiviti sukan, kemasyarakatan, ceramah serta pameran agensi kerajaan.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Operasi KEMAS Malaysia, Zairuddin Matzuini, Pengarah KEMAS Sarawak, Anisah Saidin, Pegawai KEMAS Bahagian Limbang, Khairul Amree Abdul Rahman, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, dan Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi.
Oleh Adeng Edrus