
BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) akan menganjurkan Kempen Pengumpulan Buangan Barangan Elektrik dan Elektronik (E-Waste) serta Minyak Masak Terpakai sempena Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Sarawak 2025 yang dijadual berlangsung pada 11 dan 12 Oktober ini.
Kempen ini dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Alam Sekitar (JAS), E-Concern (M) Sdn Bhd, dan Green Town Eco Sdn Bhd.
Menurut kenyataan BDA, kempen tersebut bertujuan mengurangkan pembuangan e-waste secara terus ke tapak pelupusan sampah, di samping menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat setempat.

Program akan berlangsung dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang di perkarangan tempat letak kereta Dewan Suarah Bintulu.
“Orang ramai digalakkan hadir dengan membawa bahan kitar semula seperti barangan elektrik dan elektronik terpakai serta minyak masak terpakai untuk dihantar atau dijual, demi menyokong usaha ke arah mewujudkan bandar yang lebih bersih,” menurut kenyataan itu.
Senarai harga barangan kitar semula juga akan disediakan sepanjang kempen berlangsung.
Oleh Carolyne Utih