BETONG, 19 Oktober: Penduduk Rumah Panjang Tembawai Tinting, Ulu Layar, kini menikmati kemudahan jalan ladang yang dinaik taraf menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), sekali gus memudahkan akses ke kawasan pertanian dan urusan harian mereka.
Projek berkenaan berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual, memperlihatkan pelaksanaan kerja yang memberi tumpuan kepada keperluan penduduk luar bandar.
Projek itu dilaksanakan oleh Penom Paku Enterprise dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong bertindak sebagai agensi pelaksana.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembangunan infrastruktur luar bandar perlu berasaskan keperluan sebenar masyarakat supaya kemudahan yang dibina dapat dimanfaatkan secara langsung.
“Jalan ladang yang baik penting untuk memudahkan penduduk mengakses kawasan pertanian dan menjalankan kegiatan harian mereka.
“Sebab itu, keperluan seperti ini perlu diberi perhatian supaya kemudahan yang disediakan benar-benar membantu penduduk,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, aspek kualiti perlu sentiasa dititikberatkan bagi memastikan setiap projek memenuhi spesifikasi ditetapkan serta memberikan manfaat dalam jangka panjang.
“Kerjasama semua pihak yang terlibat amat penting bagi memastikan pelaksanaan projek mencapai matlamat dan memenuhi keperluan masyarakat setempat,” katanya.
Projek berkenaan telah disiapkan sepenuhnya mengikut piawaian dan spesifikasi JKR Bahagian Betong, manakala sesi serah siap diadakan pada 15 Oktober lalu.
Mewakili penduduk rumah panjang, Tuai Rumah Jabin merakamkan penghargaan kepada Uggah atas peruntukan BDDA yang membolehkan kemudahan itu direalisasikan demi kepentingan penduduk.
Turut hadir pada sesi serah siap ialah wakil BDDA, Jordan Evin; wakil JKR Bahagian Betong, Norasyimah dan Ezzalina Noh; serta wakil Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban.
Oleh Adi Safarman





