MTPN Miri, JAPEN perkukuh kerjasama tingkat kesedaran pengguna

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM...Barisan delegasi MTPN Bahagian Miri dan pegawai JAPEN Miri semasa kunjungan hormat dan lawatan kerja rasmi di Pejabat Penerangan Daerah Miri, baru-baru ini.

MIRI,19 Oktober: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Bahagian Miri berhasrat memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Daerah Miri bagi meningkatkan kesedaran kepenggunaan serta membendung kegiatan penipuan dalam kalangan masyarakat.

Usaha itu dibincangkan menerusi kunjungan hormat dan lawatan kerja rasmi delegasi MTPN ke Pejabat Penerangan Daerah Miri, baru-baru ini.

Delegasi berkenaan diketuai Naib Presiden Kebangsaan MTPN, Kevin Lo dan Yang Dipertua MTPN Sarawak, Lucas Lau, dengan diiringi Pengerusi MTPN Miri, Chin Soo Lin serta barisan Ahli Majlis MTPN Bahagian Miri.

Rombongan disambut Pegawai Penerangan Daerah Miri, Aidawatie Mustapha bersama pegawai kanan pejabat berkenaan.

Dalam pertemuan itu, Lucas berkata, MTPN memainkan peranan penting dalam memperjuangkan hak pengguna, meningkatkan kesedaran mengenai penipuan serta menjadi penghubung antara masyarakat dengan kerajaan.

Menurutnya, sokongan agensi kerajaan, khususnya dalam penyebaran maklumat yang tepat dan sahih, amat penting bagi memastikan masyarakat mendapat penerangan berkaitan isu kepenggunaan serta dasar kerajaan secara berkesan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JAPEN Miri atas kesudian menerima kunjungan tersebut, selain menekankan kepentingan kerjasama antara pertubuhan masyarakat dengan agensi kerajaan dalam menyampaikan maklumat hingga ke peringkat akar umbi.

Sementara itu, Chin berkata, MTPN Miri merancang pelaksanaan pelbagai program jangka pendek dan panjang, termasuk kempen advokasi pengguna, seminar keselamatan siber serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Katanya, kerjasama dengan JAPEN Miri berpotensi memperluas capaian program berkenaan melalui kepakaran komunikasi dan saluran penyebaran maklumat yang dimiliki agensi tersebut.

Dalam pada itu, Aidawatie menyambut baik kunjungan berkenaan dan menyatakan kesediaan JAPEN Miri untuk meneroka kerjasama strategik dalam penyebaran maklumat, pelaksanaan kempen kesedaran awam serta program advokasi kepenggunaan.

Pertemuan tersebut diakhiri dengan pertukaran cenderahati dan sesi bergambar sebagai simbolik usaha mempererat hubungan antara kedua-dua pihak demi kepentingan serta kesejahteraan masyarakat di Miri.

Oleh Liong Chai Ling