
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Pertubuhan Kebajikan dan Kasih Sayang Sibu di Astana Negeri.
Kunjungan tersebut bermula 11.00 pagi itu bertujuan menyampaikan ucapan takzim dan menjunjung kasih sempena Sambutan Hari Lahir Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-79.
Program ini juga menjadi platform penting bagi memperkukuhkan hubungan silaturahim serta keharmonian antara pemimpin pelbagai agama di Sarawak.


FOTO Astana Negeri Sarawak
Delegasi seramai 23 orang hadir mewakili komuniti Kristian, Muslim, Hindu, Baha’i, dan Buddha dari Sibu.
Delegasi tersebut diketuai oleh Presiden Sibu Charitable Welfare Society (Caritas Sibu) yang juga Setiausaha Association of Churches in Sarawak (ACS) Cawangan Sibu, Eta Ting Ming Na.
Dalam pertemuan tersebut, Tun Wan Junaidi menzahirkan rasa sukacita atas kehadiran delegasi pelbagai agama dari Sibu yang mencerminkan semangat perpaduan, toleransi, dan keharmonian yang menjadi asas kekuatan masyarakat majmuk di Sarawak.
Delegasi turut menegaskan komitmen untuk terus mendukung agenda pembangunan negeri serta memelihara ikatan persefahaman dan kebersamaan antara masyarakat pelbagai agama dan kaum di Sarawak, khususnya di Sibu.
Tun Wan Junaidi menegaskan bahawa Sarawak sentiasa menjadi contoh negeri harmoni dan toleran, di mana masyarakat majmuk hidup dalam suasana saling menghormati. Persefahaman antara agama bukan sahaja menjadi asas keharmonian, malah tiang seri kekuatan masyarakat negeri ini.
Beliau turut berharap para pemimpin agama terus berperanan sebagai jambatan perpaduan demi kesejahteraan generasi akan datang serta meneguhkan kerjasama selaras dengan aspirasi negeri untuk mengekalkan keamanan dan kemajuan bersama.
Turut hadir Pengerusi Wanita ACS Cawangan Sibu, Patricia Mowe, bersama beberapa pemimpin agama lain, Pengerusi Masjid An-Nur Sibu, Tuan Dahari Jol dan Pengerusi ACS Cawangan Sibu serta Vicar St John’s Anglican Church, Sibu, Venerable Archdeacon Jose Jol.
Hadir sama Presiden Sibu Hindu Temple Association, Manogaran A/L Krishnasamy, Pengerusi Local Spiritual Assembly of the Baha’is of Sibu, Lim Chung Tee, Pengerusi United Buddhist Association Sibu, Ivy Chieng Ching Ping dan Pengerusi Sibu Buddhist Associations, Lisa Ngu Ngiik Chai.