

PERIKSA DAN TAHAN… Anggota JIM Sarawak (Miri) ketika membuat pemeriksaan dan menahan individu warga asing yang didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen di sekitar Miri semalam.
MIRI: Seramai 31 individu, termasuk seorang majikan, telah ditahan oleh Unit Penguatkuasa Imigresen Miri dalam satu siri operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar bandar ini, semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, operasi tersebut merangkumi Ops Sapu, Ops Mahir, Ops Belanja dan Ops Selera, melibatkan seramai 14 pegawai penguat kuasa di lima lokasi yang telah dikenal pasti sebagai sasaran.
“Sepanjang operasi, sebanyak 39 individu diperiksa dan hasilnya 25 lelaki serta lima wanita didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Seorang majikan turut ditahan kerana dipercayai menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah,” katanya.
Kesalahan yang dikesan melibatkan Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963. Manakala majikan tersebut disiasat di bawah Seksyen 55B akta yang sama.
JIM Sarawak menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui saluran rasmi jabatan demi menjaga keselamatan dan ketenteraman masyarakat.
Oleh Adum Liu