KUCHING, 20 Oktober: Dua lelaki ditahan oleh pasukan Petugas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan bagi membantu siasatan berhubung kes yang disyaki melibatkan kecurian rim kereta dan kabel di Matang, selepas berlaku aksi suspek dikejar polis dan pergelutan semasa operasi awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Barry William berkata, kedua-dua suspek berusia 35 dan 43 tahun itu ditahan kira-kira 12.30 tengah malam tadi di Lorong Harmoni 3, Taman Sri Harmony, Matang, selepas cuba melarikan diri daripada polis.
Beliau berkata, sepasukan anggota Petugas IPD Padawan yang diketuai Insp Elvis Fernandez Kilong telah menahan kedua-dua lelaki berkenaan ketika mereka berada di dalam sebuah kereta Perodua Kancil berwarna putih.
“Suspek bertindak melarikan diri ketika operasi dijalankan sehingga menyebabkan aksi polis mengejar suspek. Pergelutan turut berlaku semasa proses tangkapan sebelum kedua-dua suspek berjaya ditahan,” katanya.
Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Kota Sentosa untuk tindakan lanjut sebelum ditahan di lokap Balai Polis Beratok bagi membantu siasatan.

Polis turut merampas kereta Perodua Kancil berkenaan, sebatang anak kunci tertera logo Perodua serta pelbagai peralatan termasuk jek hidraulik dan jek gunting, tukul, playar, pisau, pembuka tayar silang, multimeter digital dan topeng muka.
Barang rampasan itu sedang disiasat berhubung kes yang disyaki melibatkan kecurian rim kereta dan kabel.
Menurut polis, siasatan awal mendapati suspek berusia 35 tahun mengaku terbabit dalam kejadian itu bersama seorang lagi suspek yang ditahan serta dua individu lain yang masih bebas.
Suspek turut mendakwa kereta Perodua Kancil yang digunakan adalah milik bapa mertua dan dipandu suspek pada hari kejadian.
Suspek juga mendakwa sebuah Perodua Myvi berwarna hitam yang turut berada di lokasi kejadian dipandu oleh salah satu suspek yang masih bebas.
Semakan polis mendapati suspek berusia 35 tahun mempunyai tiga rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan satu rekod di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Suspek berusia 43 tahun pula mempunyai satu rekod lampau di bawah setiap peruntukan yang sama.
Siasatan lanjut sedang dijalankan, manakala pasukan Petugas IPD Padawan giat mengesan dan memburu dua lagi suspek yang masih bebas.
Oleh Connie Chieng




