SELANGAU, 20 Oktober: Polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun serta merampas dadah disyaki jenis syabu, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota polis dalam sebuah Operasi Ops Tapis di hadapan sebuah kedai alat telekomunikasi bertempat di Jalan Pasar Tamu, di sini.
Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh ditahan pada kira-kira 11.00 pagi dalam serbuan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek telah menyerahkan sendiri satu keratan tiub straw lutsinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis Syabu dengan berat kasar 0.50 gram yang dianggarkan bernilai RM50.
“Suspek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Mukah untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sehubungan itu, ujian saringan awal polis mendapati suspek negatif dadah, manakala suspek juga didapati tidak mempunyai rekod lampau.

Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku dadah yang dirampas adalah miliknya dan mengaku terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sejak Jun 2026.
Dalam pada itu, Mahkamah Majistret Mukah telah meluluskan tempoh reman selama tiga hari terhadap suspek sehingga Jumaat ini (23 Oktober) selepas permohonan dibuat bagi melengkapkan siasatan.
Polis turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan punca bekalan dadah diperoleh serta mengenal pasti individu yang membekalkan bahan terlarang tersebut.
Justeru, polis turut menggesa orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah bagi membanteras kegiatan berkenaan, khususnya di Daerah Mukah dan Selangau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.
Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian 084-871222 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Adibfahmy





