

PETRA JAYA: Kontinjen badminton Sarawak menamatkan cabaran pada hari terakhir Sukan Borneo 2025 dengan penuh bergaya apabila membolot beberapa pingat emas dalam acara akhir, sekali gus mengukuhkan dominasi dalam sukan tersebut.
Pasangan Sin Hong Ho dan Jeremy Zhen Liang Juan menghadiahkan emas dalam beregu lelaki selepas menundukkan wakil Wilayah Persekutuan Labuan, Aguwell Andrew dan Carlester Cleve James, dengan kemenangan meyakinkan 21-19, 21-16.
Dalam acara beregu campuran, gandingan Jeremy bersama Genevie Tsin Yeen Lim turut melakar kemenangan bergaya ke atas pasangan Kalimantan Timur, Ramanda Zibrilian Ramadhani dan Karina Ria Hardianti, 21-16, 21-12 sekali gus menambah koleksi emas kontinjen.
Aksi beregu wanita pula menyaksikan pertembungan perlawanan akhir sesama Sarawak apabila pasangan adik-beradik, Felicia Xin Hui Fong dan Flora Xin Jie Fong, menewaskan rakan sepasukan, Genevie Tsin Yeen Lim dan Wafa Shahmina Rahman, 21-19, 21-7 untuk merangkul kejuaraan.

Sementara itu, pingat emas persaingan perseorangan lelaki juga menjadi milik Sarawak apabila Shawn Hiu menundukkan rakan sepasukan Shun Huat Goh dalam pertarungan sengit tiga set, 23-21, 17-21, 21-19.
Secara keseluruhan, pencapaian hari terakhir membuktikan kekuatan badminton Sarawak yang bukan sahaja menguasai podium tetapi juga memperlihatkan kedalaman bakat atlet negeri ini dalam persaingan serantau.
Oleh Masrin Affirah