ADENG IDRUS
LAWAS: Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan, majoriti rakyat duduk di rumah bersama keluarga tersayang.
Namun, senario ini berbeza dengan sekumpulan insan yang masih keluar rumah untuk terus memberi khidmat bakti menyantuni rakyat dalam mengagihkan bantuan sumbangan makanan daripada pemimpin yang prihatin.
Wira yang tidak didendang ini adalah kumpulan barisan hadapan Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari dan PBB Ba’kelalan yang tetap turun padang untuk memastikan bantuan bekalan makanan terus disalurkan kepada penduduk serta golongan sasaran .
Semalam, sepasukan khas daripada PBB Bukit Sari yang diketuai Setiausaha Parti PBB Cawangan Bukit Sari, Awang@Ibrahim Ahmat selesai mengagihkan bantuan SarawakKu Sayang dan Bantuan Sumbangan Jabatan Pertanian Bahagian Limbang di zon Jalan Punang.
Perjalanan itu dengan jayanya juga mengagihkan bantuan sumbangan ke zon Sundar , Awat-awat dan Trusan pada lewat petang semalam.
Ahli MKT Parti PBB Sarawak merangkap Timbalan Ketua Parti PBB Cawangan Bukit Sari, Kr. Awangku Jinal Abidin merakamkan jutaan terima kasih kepada pasukan yang penuh dedikasi dan berdisplin ini.
Beliau juga terus berpesan agar pasukan ini tetap menjaga keselamatan diri dan memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) kerja penghantaran bantuan sumbangan tidak diketepikan.
Kr. Awangku Jinal turut memaklumkan yang Timbalan Ketua Menteri merangkap ADUN Bukit Sari dan Ketua Cawangan Parti PBB Bukit Sari amat menghargai segala jasa dan pengorbanan mereka.
Beliau menyifatkan mereka ini sebagai ‘wira senyap’ yang menggunakan sepenuhnya tempoh PKP untuk beramal dan berbakti kepada masyarakat.
Turut menyertai dan memberikan semangat kepada pasukan ialah Pegawai Daerah Lawas; Ladin Atok yang telah kerap kali menyertai misi penghantaran bantuan sumbangan ini kepada penduduk di kawasan Bukit Sari.
Penghantaran terakhir ialah kawasan Zon Bandar Lawas, penempatan kawasan Banting dan sekitarnya.
Ini adalah kawasan yang amat mencabar kerana penempatan yang berselerak dan luas.