Skrip berkualiti jadi pegangan Sofia Jane kekal relevan

Facebook
WhatsApp
SOFIA Jane bersama Gavin Yap ketika menjalani persiapan menjelang pementasan teater Thrown di The Studio JCPAC, Sunway City Kuala Lumpur. Foto Instagram Sofia Jane

KUALA LUMPUR, 27 Oktober: Skrip berkualiti dan kelainan watak merupakan antara pertimbangan penting pelakon Datin Sofia Jane dalam membina kerjaya lakonan yang mampu bertahan lama.

Berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad, Sofia, 54, berkata beliau tidak menerima sesuatu tawaran lakonan semata-mata kerana peluang itu diberikan, sebaliknya turut meneliti mutu skrip dan keserasian dengan pasukan produksi yang memahami kehendak karya berkenaan.

“Bagi saya, pelakon yang bagus mahukan skrip yang bagus. Jadi, mereka akan tengok siapa penulis.

“Kalau seseorang pelakon itu mahu bertahan lama, dia kena tahu apa yang diperlukan untuk membezakan dia dengan yang lain,” katanya kepada pemberita sempena pementasan teater solo pertamanya, Thrown, di sini hari ini.

Pemenang Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Asia ke-21 di Rom, Itali, menerusi filem Maryam Pagi ke Malam pada 2024 itu berkata penilaian terhadap sesebuah karya bersifat subjektif dan bergantung pada pertimbangan serta cita rasa seseorang pelakon.

“Apa yang dianggap sebagai penulisan baik oleh seseorang mungkin tidak sama bagi orang lain. Begitu juga dengan saya. Apa yang saya anggap baik mungkin tidak sama dengan penilaian orang lain. Itu pilihan saya,” katanya.

Mengulas cabaran yang dihadapi pelakon baharu, Sofia mengakui mereka mungkin belum mempunyai banyak pilihan ketika menerima tawaran lakonan kerana perlu mencari rezeki. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setiap peluang boleh dimanfaatkan untuk menonjolkan keunikan diri.

POSTER pementasan teater Thrown lakonan solo Datin Sofia Jane yang bakal dipentaskan di The Studio JCPAC, Sunway City Kuala Lumpur, pada 20 hingga 22 November dan 27 hingga 29 November ini. Foto Instagram Sofia Jane

Justeru, katanya, walaupun sesebuah cerita dirasakan kurang menarik atau mempunyai persamaan dengan karya lain, pelakon perlu mencari pendekatan tersendiri untuk menghidupkan watak agar dapat menonjolkan kemampuan dan identiti masing-masing.

Beliau berkata pelakon juga perlu mengimbangi keperluan mencari rezeki dengan pertimbangan terhadap perkembangan kerjaya, selain menunjukkan kesungguhan dalam setiap persembahan.

Sofia turut menekankan kepentingan mengenali penulis dan pengarah, termasuk menonton karya terdahulu mereka bagi memahami gaya serta pendekatan penceritaan sebelum menerima sesuatu tawaran.

Berkongsi mengenai Thrown, Sofia berkata naratif karya yang meneroka memori zaman kanak-kanak menjadi faktor yang menarik minatnya untuk menjayakan pementasan itu.

Beliau membawakan watak seorang ahli psikologi kanak-kanak yang semakin keliru antara kenangan sendiri dengan memori pesakitnya.

Karya Jodi Gray itu menandakan penampilan solo pertama Sofia dalam pementasan berbahasa Inggeris selama kira-kira sejam, selain menjadi kerjasama pertamanya dengan pengarah Gavin Yap.

Dipersembahkan oleh Pusat Seni Persembahan Jeffrey Cheah (JCPAC) dan diterbitkan oleh Superbear Productions, Thrown bakal dipentaskan di The Studio JCPAC, Sunway City Kuala Lumpur, dari 20 hingga 22 November dan 27 hingga 29 November ini. – Bernama