
BINTULU: Projek naik taraf sengkuap dan laluan pejalan kaki berbumbung di SJK Chung Hua Bintulu, yang dijadualkan siap dan diserahkan hari ini, masih belum dapat diperakui sempurna kerana tidak mematuhi skop asal pembinaan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, struktur utama mungkin kelihatan siap, namun terdapat beberapa bahagian termasuk sambungan bumbung yang tidak dibina mengikut pelan asal.
“Bumbung sepatutnya lebih panjang agar ibu bapa tidak perlu berpayung ketika mengambil anak. Tetapi yang dibina hanyalah anjung kecil. Ini tidak menepati keperluan sebenar masyarakat,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa agensi pelaksana dan kontraktor sepatutnya memaklumkan lebih awal jika ada kekangan, memandangkan peruntukan sudah disediakan.
Johnny turut menyuarakan keperluan untuk mesyuarat bersama kontraktor dan pihak berkuasa bagi memastikan pelan asal dipatuhi sebelum sebarang pengesahan dibuat.
“Kita tidak mahu kemudahan yang dibina dipersoalkan. Tujuannya adalah untuk keselesaan ibu bapa dan pelajar,” tambah beliau.
Beliau memberi jaminan bahawa projek tersebut akan dikawal selia dengan lebih teliti demi mewujudkan persekitaran yang selesa dan selamat di sekolah.
Oleh Carolyne Utih