Bermula di permainan video, Kaira kini bawa pulang emas di alam nyata

Facebook
WhatsApp
KAIRA bersama ibu dan abangnya bergambar bersama.

SUBANG: Bermula dengan permainan video bertemakan menembak, minat Kaira Ramadhani Azman terhadap senjata maya akhirnya dibawa ke dunia sebenar oleh ibunya sebelum membuahkan hasil apabila dia membantu Sarawak meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026, hari ini.

Kaira bersama Melisa Mike Snyut George Mike dan Affiennia Norolyn Howard Fadd muncul juara acara 50 meter (m) rifle prone berpasukan wanita selepas mengumpul 1,815.4 mata di Lapang Sasar Negara, di sini.

Pasukan Perak meraih perak dengan 1,804.6 mata, manakala tuan rumah Selangor membawa pulang gangsa selepas mengumpul 1,803.6 mata.

Ibunya, Siti Khatijah Bohari, 46 berkata, minat anaknya terhadap sukan menembak mula dikesan ketika Kaira gemar bermain permainan video yang mempunyai unsur menembak, mendorongnya untuk mencuba sukan berkenaan dalam dunia sebenar.

“Saya paksa sebab saya lihat dia ada minat menembak. Bermula daripada dia suka bermain permainan video menembak, jadi saya mahu dia cuba dalam dunia sebenar.

“Dia pergi pemilihan dan terus terpilih. Bila sudah terpilih, terus melekat minatnya terhadap sukan ini,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak selepas pertandingan.

KAIRA bersama rakan-rakan seperjuangan. Turut kelihatan, Ketua Kontinjen (CDM) Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu.

Menurutnya, faktor kediaman keluarga yang berhampiran lokasi latihan turut memudahkan Kaira menjalani latihan secara konsisten.

“Saya tinggal di Kampung Sourabaya Hilir, jadi dekat dengan tempat latihan dan senang untuk hantar dia berlatih,” katanya.

Abangnya, Ahmad Zahid Azman pula berkata, minat adiknya terhadap sukan menembak berkembang daripada permainan video kepada minat sebenar selepas diberi peluang mencuba sendiri.

“Daripada main permainan, dia memupuk minat itu kepada dunia sebenar,” katanya.

Menurut ibu Kaira, perjalanan anaknya sebagai atlet turut menuntut pengorbanan besar apabila perlu mengimbangi latihan yang ketat dengan tuntutan pendidikan.

Katanya, Kaira tetap perlu memberi perhatian kepada pelajaran meskipun menjalani persiapan intensif menghadapi Sukma, termasuk menduduki ujian akhir di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebelum temasya berkenaan.

“Latihan dia sangat ketat. Dia terpaksa mengimbangi masa dengan baik antara pendidikan dan sukan ini. Sebelum Sukma ini pun dia ada ujian akhir di UiTM,” katanya.

Kejayaan di Subang itu menyaksikan Kaira dan rakan sepasukannya mengekalkan kedudukan di tangga teratas sepanjang saingan untuk menghadiahkan emas kepada kontinjen Bumi Kenyalang.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai peluang beraksi pada Sukan SEA pada masa depan, Kaira hanya menjawab ringkas dengan penuh harapan.

“Insya-Allah kalau ada rezeki,” katanya.

Bagi abangnya pula, kejayaan hari ini membuka ruang lebih besar untuk Kaira melangkah lebih jauh dalam arena sukan negara.

“Our next Pandelela Rinong,” katanya penuh bangga.

Kemenangan trio berkenaan menambah koleksi emas Sarawak dalam acara menembak selepas Leticia Chai Ji Yi terlebih dahulu muncul juara acara 10m air pistol individu wanita.

Oleh Shahrul Qaizat