Doris desak tindakan segera tangani masalah Klinik Kesihatan Sri Aman

Facebook
WhatsApp
DATO' Sri Doris Sophia Brodie semasa mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan bagi meneliti perkembangan projek pembinaan baharu serta cadangan pemindahan sementara Klinik Kesihatan Sri Aman, hari ini. Foto Pusat Khidmat P202 Parlimen Sri Aman

SIMANGGANG: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie mengambil inisiatif mengadakan perbincangan secara terus bersama agensi berkaitan, khususnya Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR), bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai cadangan pembinaan baharu Klinik Kesihatan Sri Aman.

Menurut beliau, keadaan klinik berkenaan yang semakin uzur dan sesak memerlukan perhatian segera, termasuk perancangan pemindahan sementara operasi klinik sementara menunggu penyelesaian jangka panjang.

Katanya, kedua-dua perkara itu amat penting dan mendesak bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat dapat diteruskan dalam keadaan lebih selamat dan selesa.

“Keadaan klinik yang semakin sesak bukan sahaja menimbulkan kesulitan kepada jumlah pesakit yang semakin meningkat, malah lebih utama melibatkan keselamatan dan kesejahteraan pesakit serta kakitangan.

“Ini memandangkan premis berkenaan telah dikenal pasti sebagai tidak selamat oleh pihak JKR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan bagi meneliti perkembangan projek pembinaan baharu serta cadangan pemindahan sementara Klinik Kesihatan Sri Aman, hari ini.

Doris berkata, mesyuarat berkenaan bersetuju supaya jalan penyelesaian yang segera dan praktikal dicari, selain mendesak semua agensi berkaitan mengambil tindakan secara cekap, berkesan dan bersepadu.

Sebagai langkah susulan, beliau turut mengarahkan supaya mesyuarat pemantauan diadakan pada setiap bulan bagi memastikan perkembangan projek pembinaan baharu dan perancangan pemindahan sementara dapat dipantau secara konsisten.

“Pemantauan secara berkala ini penting supaya setiap perkembangan dapat dikenal pasti dengan segera dan sebarang isu yang timbul dapat ditangani tanpa berlengah sehingga penyelesaian dicapai,” katanya.

Oleh Adi Safarman