SUBANG: Naluri memburu kemenangan yang dicetuskan menerusi kata-kata semangat Menteri Belia, Sukan dan Pembanhunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ternyata membuahkan hasil apabila skuad menembak Sarawak meledak dua pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026, hari ini.
Ketua Kontinjen (CDM) Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, pencapaian tersebut amat membanggakan selepas pasukan menembak turut menyumbang satu emas pada hari sebelumnya.
“Hari ini kita mendapat dua emas untuk pasukan Sarawak. Semalam kita dapat satu.
“Kita sangat bangga kerana dari segi persiapan memang kita sudah ada, tetapi dari segi fokus daripada pasukan dan jurulatih, mereka agak konservatif sedikit. Sebenarnya ini satu kejutan.
“Kita berterima kasih kerana kata-kata semangat Dato Sri Karim, ‘kamu mesti ada killer instinct (naluri pembunuh)’. Jadi, atlet wanita kita mendapat naluri pembunuh itu dan sebab itulah kita menang emas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah acara menembak di Lapang Sasar Kebangsaan, di Subang , hari ini.
Menurut Gerald, kejayaan tersebut membuktikan persiapan dan kekuatan mental atlet memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan pertandingan menembak.
Katanya, sukan menembak juga mempunyai sistem pemarkahan elektronik yang menjadikan keputusan pertandingan lebih telus dan sukar dipertikaikan.
“Sukan menembak adalah acara yang sangat adil kerana keputusan tidak boleh dipertikaikan. Semuanya menggunakan pemarkahan elektronik.
“Jadi, ia bergantung kepada latihan dan persediaan mental mereka. Semuanya bergantung kepada diri mereka sendiri,” katanya.
Gerald berkata, Sarawak masih mempunyai peluang untuk menambah koleksi pingat emas dalam tempoh dua hari terakhir temasya, dengan lebih 60 acara menawarkan emas untuk dipertandingkan esok.
“Kita mesti naik. Kita mesti tingkatkan prestasi kita. Pasukan kita juga sudah diberikan motivasi dan sebagainya. Kita mengharapkan sokongan daripada semua rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau turut meminta rakyat Sarawak supaya terus mendoakan kejayaan kontinjen Bumi Kenyalang yang sedang berjuang di Selangor.
“Yang paling penting, kita mahukan sokongan daripada semua rakyat Sarawak. Kalau di Kuching dan seluruh Sarawak, doakan kejayaan kita di sini kerana itu memberikan semangat kepada kita,” katanya.
Mengulas peluang Sarawak mencapai sasaran pungutan pingat, Gerald kekal positif dengan persiapan kontinjen pada edisi kali ini.
“Mesti dapat. Takkan tak dapat. Kita mesti positif mengenainya. Saya rasa dari segi persiapan, kita kali ini jauh lebih bersedia berbanding yang lain. Tetapi masih ada cabaran seperti cuaca panas.
“Kita juga mempunyai beberapa keperluan untuk pasukan perubatan bertemu dengan atlet-atlet kita, tetapi dengan keyakinan yang tinggi, kita akan berjaya dalam pertandingan dua hari akan datang,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat



