Penduduk Kampung Jampari bersatu bersihkan longgokan sampah pusingan P di Lebuh Raya Pan Borneo

Facebook
WhatsApp
PROGRAM gotong-royong di Kampung Jampari digerakkan bagi membersihkan sampah di dua kawasan pusingan P di Lebuh Raya Pan Borneo. Foto Billy Sujang

LUNDU: Longgokan botol minuman dan sampah di dua kawasan pusingan P di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Kampung Jampari bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah berpotensi mengancam kesihatan awam.

Lebih membimbangkan, sebahagian bekas yang dibuang dipercayai boleh menakung air hujan, sekali gus mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes yang membawa risiko penularan penyakit denggi.

Keadaan itu mendapat perhatian menerusi program gotong-royong di Kampung Jampari kelmarin apabila dua kumpulan penduduk digerakkan untuk membersihkan sampah di kedua-dua lokasi berkenaan.

AKTIVITI tersebut turut dilaksanakan serentak dengan gotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan lama di Sigup bersama penduduk kampung menerusi program CSR Zon 5 Titiakar. Foto Billy Sujang

Aktiviti tersebut turut dilaksanakan serentak dengan gotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan lama di Sigup bersama penduduk kampung menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Zon 5 Titiakar.

Namun, usaha berkenaan dilihat bukan sekadar menyelesaikan masalah sampah untuk tempoh sehari, sebaliknya memperlihatkan keperluan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pengurusan sisa secara berterusan.

Bekas minuman yang dibuang sewenang-wenangnya, khususnya yang boleh menakung air, dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Selain itu, sampah yang berselerak turut menjejaskan kebersihan dan imej kawasan pusingan P berkenaan.

Dalam usaha memperkukuh kesedaran itu, program turut diperluaskan menerusi Kempen Luar Bandar Sifar Sisa dan Kempen Sisa Elektronik (e-Sisa) di Dewan Serbaguna Kampung Jampari pada hari yang sama.

PENDUDUK digalakkan mengumpul minyak masak terpakai untuk dijual semula pada harga antara RM3 hingga RM3.30 sekilogram. Foto Billy Sujang

Kempen tersebut dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik Majlis Daerah Lundu, iaitu Syarikat Timuran Kembangan, yang menyediakan saluran pembelian semula minyak masak terpakai serta barangan elektrik yang telah rosak.

Penduduk turut digalakkan mengumpul minyak masak terpakai untuk dijual semula pada harga antara RM3 hingga RM3.30 sekilogram, berbanding membuangnya ke tanah atau longkang yang boleh menyebabkan pencemaran.

Pendekatan berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar, malah memberikan nilai ekonomi kepada bahan buangan yang selama ini dianggap tidak lagi berguna.

Sementara itu, Kempen e-Sisa memberi pilihan kepada penduduk untuk melupuskan barangan elektrik yang rosak menerusi saluran pengumpulan yang lebih teratur, sekali gus mengurangkan pembuangan sisa elektronik bersama sampah biasa.

KEMPEN Luar Bandar Sifar Sisa dan Kempen Sisa Elektronik (e-Sisa) di Dewan Serbaguna Kampung Jampari. Foto Billy Sujang

Program itu membawa mesej jelas bahawa kelestarian alam sekitar bermula dari rumah, termasuk melalui cara masyarakat mengurus minyak masak terpakai, botol minuman, sampah domestik dan peralatan elektrik yang tidak lagi digunakan.

Turut hadir Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail, Setiausaha Majlis Daerah Lundu Wan Fauzi Wan Ismail, Pemanca Ellen Manium Enggang, Penghulu Wang; Penghulu Michael Bong, Ketua Kaum Kampung Setu Ndoi selaku tuan rumah serta ketua-ketua kaum, kaunselor, ahli jawatankuasa kampung Zon 5 Titiakar dan Zon 3 Biawak serta penduduk kampung berhampiran.

Oleh Adi Safarman