LAWAS: Projek pembangunan infrastruktur di dua kampung di Ulu Merapok akan terus diberi keutamaan untuk dilaksanakan tahun depan menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek pembinaan gelanggang sukan dan gereja di Kampung Bukit Manang akan diteruskan menerusi fasa kedua tahun depan.
Menurutnya, projek lain termasuk pembinaan dewan Kampung Merambai turut dijadualkan untuk disiapkan menerusi fasa kedua pada tahun hadapan, manakala projek tadika di kampung berkenaan telah siap dan akan diuruskan pihak berkaitan.
“Di Kampung Bukit Manang, kemudahan gelanggang sedia ada juga akan melalui kerja penambahbaikan, termasuk dilengkapi dengan kemudahan lain.

“Begitu juga dengan bangunan gereja. Fasa pertama sudah dilaksanakan dan bagi fasa kedua, kita akan berusaha mendapatkan peruntukan supaya bangunan gereja ini dapat disiapkan dan digunakan.
“Pelaksanaan kemudahan dewan di Kampung Merambai bagi fasa pertama sudah dilakukan oleh agensi pelaksana, iaitu Majlis Daerah Lawas, dan akan diteruskan tahun depan bagi fasa kedua. Semua projek ini dibiayai menerusi peruntukan RTP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sesi bertemu media di Pusat Khidmat Merapok di sini, petang semalam.

Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari berkata, kerja menaik taraf padang sukan di Kampung Bukit Puan turut dijadualkan bermula tahun depan.
Beliau turut menghargai usaha belia Kampung Bukit Puan yang selama ini mengambil inisiatif mengumpul dana bagi membaiki padang sukan di kawasan berkenaan.
Katanya, kemudahan lain di kawasan Ulu Merapok turut diberi perhatian kerajaan untuk dilaksanakan secara berperingkat.
Oleh Adeng Edrus




