KEKALAHAN 8-2 kepada Bayern Munich disifatkan sebagai kekalahan memalukan oleh pemain pertahan veteran Barcelona Gerard Pique, selain mendakwa kelab terbabit berada pada tahap terendah.
“Ia perlawanan yang dahsyat, sangat dahsyat. Perkataan paling sesuai, memalukan dan Anda tidak boleh bersaing seperti ini di peringkat Eropah.
“Ini bukan kali pertama atau kedua perkara sebegini berlaku kepada kami dan kelab perlukan perubahan. Saya tidak bercakap tentang jurulatih atau pemain atau menyingkirkan seseorang tetapi kami kena tukar struktur sebab ini bukan kali pertama.
“Kami harus berfikir secara mendalam dan menentukan apa yang terbaik buat kelab, untuk Barca. Malam ini ia tidak boleh diterima buat Barcelona.” Kata Pique
Pertarungan heavyweight Eropah itu sepatutnya berlangsung sengit, namun apa yang berlaku di Stadium Da Luz, Bayern menguasai permainan sepenuhnya.
Juara Jerman itu memberi tekanan berterusan, mempamer aksi bertenaga dan langsung tiada belas kasihan.
Selain Thomas Muller, turut mencuri tumpuan Philippe Coutinho yang masing-masing meledakkan dua gol untuk Bayern.
Empat lagi jaringan Bayern hadir menerusi Ivan Perisic, Serge Gnabry, Joshua Kimmich dan Robert Lewandowski.
Kali terakhir juara lima kali Barcelona, menang Liga Juara-Juara ialah pada 2015 dan kekalahan hari ini berlaku selepas tewas gelaran liga kepada Real Madrid.
“Ia perlawanan yang teruk. Ia meninggalkan perasaan yang buruk dan sangat memalukan,” tambah pemain berusia 33 tahun itu.
Kekalahan itu juga menimbulkan persoalan serius mengenai masa depan Lionel Messi di Sepanyol -AFP