KUCHING, 28 Oktober: Polis masih menunggu laporan psikiatri forensik bagi membantu melengkapkan siasatan kes seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai mencederakan seorang guru wanita menggunakan kapak di sebuah sekolah swasta di sini, 21 Oktober lalu.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, suspek masih menerima rawatan dan berada di bawah pengawasan pihak psikiatri sementara menunggu penilaian lanjut oleh pakar psikiatri forensik.
Menurutnya, penilaian itu penting bagi mendapatkan pandangan profesional berhubung keadaan suspek sebelum tindakan lanjut ditentukan.
Mengulas dakwaan kejadian itu mempunyai kaitan dengan unsur buli, Saifullizan berkata, setakat ini polis belum menemukan sebarang bukti yang mengaitkan unsur berkenaan dengan kejadian tersebut.
“Setakat ini, kita belum menemui sebarang bukti untuk mengaitkan unsur buli dalam kejadian tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, polis masih menunggu hasil laporan forensik terhadap telefon bimbit dan komputer yang dirampas bagi membantu siasatan.
Mengulas mengenai kapak yang digunakan dalam kejadian itu, beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati senjata berkenaan dibeli secara dalam talian.
Beliau turut menjelaskan bahawa empat mercun yang ditemukan pada kapak berkenaan masih dikategorikan sebagai mercun berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan setakat ini.
Pihak polis juga belum dapat mengesahkan dakwaan bahawa permainan dalam talian atau kandungan media sosial mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
Menurutnya, polis perlu berpegang pada fakta yang diperoleh melalui siasatan dan mengelakkan sebarang spekulasi berhubung motif atau faktor yang mungkin mempengaruhi tindakan suspek.
Mengenai kemungkinan suspek diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau keluarganya, Saifullizan berkata, perkara itu bergantung pada laporan psikiatri serta syor profesional yang berkaitan.
“Pihak polis hanya menjalankan siasatan, manakala keputusan sama ada suspek akan didakwa atau tidak terletak pada pihak pendakwa raya selepas meneliti hasil siasatan dan laporan berkaitan,” katanya.
Dalam kejadian pada 21 Oktober lalu, polis menerima panggilan kecemasan kira-kira 7.50 pagi berhubung insiden seorang pelajar lelaki dipercayai mencederakan guru wanitanya menggunakan kapak.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan luka pada tangan, manakala suspek turut dilaporkan membawa mercun ketika kejadian.
Suspek ditahan pada hari kejadian sebelum diberikan jaminan polis dan ditempatkan di wad psikiatri Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk penilaian lanjut.
Dalam pada itu, mangsa yang mengalami kecederaan luka pada tangan dalam kejadian itu telah dibenarkan keluar dari hospital.
Polis akan meneruskan siasatan sementara menunggu laporan psikiatri forensik dan analisis bahan yang dirampas bagi menentukan tindakan selanjutnya.
Oleh Norman B



