
JAKARTA: Empat kebakaran baharu hutan dan tanah dikesan di Sumatera Utara, bahagian utara Indonesia, membakar sejumlah 43 hektar dua hari berturut-turut bermula semalam, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB).
BNPB memaklumkan kejadian pertama berlaku semalam di dua kampung dalam Daerah Kecil Padang Bolak dan Halongonan, Daerah Padang Lawas Utara, melibatkan keluasan 23 hektar.
“Pihak berkuasa tempatan telah berjaya memadamkan kebakaran itu dan siasatan berhubung punca kejadian sedang dijalankan,” kata jurucakap BNPB Abdul Muhari dalam satu kenyataan hari ini.
Kebakaran juga berlaku semalam di kawasan Sibaganding, Daerah Kecil Girsang Sipangan Bolon, Daerah Simalungun, memusnahkan kira-kira 10 hektar, dengan operasi pemadaman masih dijalankan.
Sebanyak 10 hektar lagi terjejas akibat kebakaran yang masih aktif di Kampung Saruaso, Daerah Kecil Tanjung Emas, Daerah Tanah Datar, Sumatera Barat.
Kerajaan tempatan dan penduduk digesa memperkukuh usaha pencegahan dengan mengelakkan pembakaran terbuka, membuang puntung rokok dengan betul, serta memadamkan kebakaran kecil sebelum ia merebak.
–Bernama