LEWIS Hamilton memperbaharui catatan masa sebanyak dua kali untuk melakar rekod meraih petak pertama kali ketujuh di Grand Prix (GP) British selepas mempamer prestasi cemerlang pada sesi kelayakan.
Hamilton yang memburu kemenangan kali ketujuh di Silverstone, mencatat masa terpantas mengatasi rakan sepasukan, Valtteri Bottas yang meraih petak kedua.
Juara dunia dan pendahulu kejuaraan pemandu itu bangkit pada sesi kelayakan untuk memberikan petak pertama ke-65 bersama Mercedes serta keseluruhan 91 sepanjang kariernya.
Pelumba Red Bull, Max Verstappen ketiga mengatasi pemandu Ferrari, Charles Leclerc.
“Litar ini sangat menakjubkan tetapi agak sukar ketika beraksi, terutama dengan keadaan angin kencang.
“Sesi kelayakan banyak berkaitan dengan soal keyakinan dan saya bergelut pada sektor pertama di setiap pusingan. Namun kemudian saya berjaya fokus kembali,” kata Hamilton.