PIERRE-Emerick Aubameyang muncul wira selepas membantu Arsenal meraih gelaran Piala FA buat kali ke-14 apabila dia menjaringkan dua gol ketika menumpaskan Chelsea 2-1 dalam perlawanan akhir awal pagi kelmarin di Stadium Wembley.
Bagaimanapun, Christian Pulisic terlebih dulu meletakkan Chelsea di depan hasil jaringan pembukaan pada seawal minit kelima.
Kesilapan Cesar Azpilicueta menjatuhkan Aubameyang dalam petak penalti mengundang padah sebelum ketua pasukan The Gunners itu sendiri menyempurnakan tugas dengan cemerlang pada minit ke-28.
Penyudah mantap Aubameyang ketika perlawanan berbaki 23 minit mengesahkan trofi sulung buat Mikel Arteta pada penampilan pertamanya sebagai pengurus Arsenal musim ini.
Arteta melahirkan rasa bangga dengan pencapaian anak buahnya dan ia kemenangan yang cukup bermakna bagi beliau setelah berjaya merangkul piala pertama sejak menganti Unai Emery pada Desember tahun lepas.
“Bagi saya secara peribadi, enam bulan terakhir merupakan tempoh yang amat sukar. Namun, saya hanya memiliki satu misi ketika datang ke sini dan itu adalah untuk membuat para pemain dan staf percaya kami boleh melakukannya (meraih trofi).
“Ini hari yang sangat istimewa. Para pemain bekerja sangat keras. Terima kasih kepada semua staf kami dan mereka yang membuat keputusan karena memberi saya kesempatan untuk melatih kelab yang saya cintai,” ujar Arteta.
Kemenangan tersebut amat bermakna kepada Arteta kerana beliau menjadi orang pertama yang menjuarai Piala FA sebagai seorang bekas pemain Arsenal dan jurulatih. – AFP