
MIRI: Sebuah rumah musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran di Tudan Desaras, di sini, sekitar 8.00 pagi tadi, menyebabkan lima sekeluarga kehilangan tempat tinggal dan hanya tinggal sehelai sepinggang.
Mangsa terdiri daripada sepasang suami isteri bersama tiga orang anak mereka.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.04 pagi, sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, dengan bantuan dari BBP Lopeng, ke lokasi kejadian di Jalan Tudan Desaras.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah rumah setingkat tidak kekal telah terbakar sepenuhnya.
“Kerja-kerja pemadaman segera dijalankan dan api berjaya dikawal dalam tempoh kurang 20 minit,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada 9.32 pagi.
Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Oleh Adum Liu