BINTULU, 9 November: Bintulu memerlukan pelan induk tebatan banjir yang lebih menyeluruh dengan anggaran kos pelaksanaan sebanyak RM2 bilion bagi menangani masalah banjir di kawasan itu dalam jangka panjang.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, usaha menangani masalah banjir memerlukan perancangan berskala besar serta sokongan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, sebagai hab perindustrian dan ekonomi utama negara, Bintulu wajar menerima pelaburan infrastruktur yang setimpal dengan sumbangannya kepada ekonomi dan hasil negara.
Menurutnya, tiga projek tebatan banjir di Bintulu dengan jumlah peruntukan RM53 juta telah dilaksanakan, dengan satu daripadanya sudah siap sepenuhnya.
“Bagaimanapun, kita masih memerlukan penyelesaian yang lebih menyeluruh untuk menangani masalah banjir di Bintulu, khususnya melalui pelaksanaan pelan induk jangka panjang,” katanya selepas menghadiri majlis pecah tanah Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa 2 di Gem Park di sini, hari ini.
Mengulas mengenai isu banjir di Bukit Orang, beliau berkata perkara itu telah dibangkitkan kepada pihak berkuasa berkaitan, dengan beberapa langkah penambahbaikan sedang dikaji.
Johnny Pang berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan amat penting bagi memastikan penyelesaian masalah banjir di Bintulu dapat dilaksanakan secara berperingkat dan berkesan.
Oleh Carolyne Utih




