SRI AMAN: Seramai 7,500 penduduk dalam kawasan Agropolitan Seduku dan Stumbin, Bijat kini sudah mula menikmati bekalan air terawat menerusi Projek Bekalan Air Grid Sarawak kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri.
Menurut beliau, penduduk dari kedua-dua kawasan berkenaan mula menikmati hasil Projek Bekalan Air Grid Sarawak berkenaan setelah ia dilaksana sepenuhnya pada penghujung tahun lepas dengan kos sebanyak RM1.4 juta.
“Projek yang dilaksana oleh pihak Kementerian Utiliti melalui Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak selaku agensi perlaksananya itu bertujuan untuk mengatasi masalah isu gangguan bekalan air di kawasan-kawasan berkenaan selama ini.
“Skop projek ini telah melibatkan pemasangan saluran paip jenis HDPE 400mm sepanjang dua kilometer di jajaran alternatif untuk menggantikan paip sedia ada di kawasan berlakunya hakisan tanah di tebingan Sungai Batang Lupar serta Jalan Skait-Gran Ring,” kata beliau.
Simoi turut memberitahu projek ini telah menunjukkan Kerajaan Sarawak di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) sememangnya mengutamakan hak penduduk Bumi Kenyalang di samping prihatin terhadap kehendak serta keperluan mereka selama ini.
“Lagipun, Kerajaan Sarawak juga akan terus bertindak memastikan proses pembangunan penduduk dalam kawasan luar bandar dalam negeri ini diteruskan dari masa ke semasa termasuk di DUN Lingga.
“Ia termasuklah penyediaan keperluan asas seperti bekalan air di kawasan Agropolitan Seduku dan Stumbin Bijat yang kini sudah pun menikmati bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air Agropolitan Seduku serta Loji Rawatan Air Stumbin Bijat,” tambah beliau.
Simoi merakamkan penghargaannya tidak terhingga kepada Menteri Utiliti dan pihak JBALB Sarawak yang telah bertindak memastikan Projek Bekalan Air Grid Sarawak di Agropolitan Seduku dan Stumbin Bijat siap dilaksana sebelum ini.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Dato Sri Stephen Rundi Utom (Menteri Ulitili), Setiausaha Tetapnya, Dato Ir. Alice Jawan, Pengarah JBALB, Ir. Chang Kuet Shian dan mereka yang terlibat secara langsung dalam Projek Bekalan Air Grid Sarawak di sini,”katanya.
Simoi turut menambah Loji Rawatan Air Agropolitan Pulau Seduku dan Stumbin Bijat telah pun menerima bekalan air tambahan dari Loji Rawatan Air Bayai di Bandar Simanggang untuk memastikan penduduk setempat mendapat bekalan air yang berkualiti dari masa ke semasa.
Oleh Valentine Ngumbang