SANTUBONG: Enam destinasi menjadi pilihan Sarawak selepas memuktamadkan perjanjian jual beli MASwings, anak syarikat Malaysia Aviation Group (MAG) kelak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, enam destinasi tersebut adalah Korea, Jepun, Hong Kong, Bangkok, Jakarta dan Frankfurt di Jerman.
Katanya, destinasi-destinasi penerbangan ini akan bagi memberikan akses pelancongan kepada kedua-dua tempat.
“Dapat kita melancong dan membawa para pelancong ke Sarawak supaya mereka dapat makan mi kolok,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penghargaan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Setiausaha Kewangan Sarawak serta Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baru di Damai Beach Resort di sini malam tadi.
Mengulas lanjut pengambilan MASWings, Abang Johari memaklumkan, kerajaan Sarawak akan membeli beberapa pesawat baharu bagi menampung destinasi pelancongan ini kelak.
Beliau berharap pengambilalihan ini dapat dimuktamad sepenuhnya pada akhir Disember ini.
Pada majlis itu, Premier Sarawak menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 14 pegawai.
Selain itu, turut disampaikan sijil kepada tiga pegawai yang bersara dan seorang yang berpindah tempat tugas.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar dan Timbalan Setiausaha Kewangan Sarawak Datu Hasmawati Sapawi. – EDISI UKAS