KUCHING: Sebanyak 58 jambatan luar bandar kini sedang dalam pembinaan di seluruh Sarawak, dengan tumpuan diberikan kepada kawasan pedalaman yang masih bergantung kepada laluan lama dan jambatan yang tidak lagi sesuai digunakan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata pembinaan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri mentransformasikan jaringan jambatan luar bandar, khususnya di kawasan yang berdepan masalah akses.
Menurutnya, antara kawasan yang memerlukan perhatian ialah laluan bekas jalan balak yang masih menggunakan jambatan kayu atau balak, sekali gus menyukarkan pergerakan penduduk.
“Kita mempunyai program transformasi jambatan luar bandar untuk kawasan pedalaman yang bermasalah, terutama bekas jalan balak yang jambatan-jambatannya masih menggunakan balak dan sebagainya sehingga menyebabkan banyak masalah.
“Sekarang, kira-kira 58 jambatan sedang dalam pembinaan. Ini jambatan kecil, bukan jambatan mega, tetapi ia penting kepada masyarakat di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan upacara penyambungan akhir struktur Jambatan Sejingkat, di sini, hari ini.
Program berkenaan merangkumi 122 projek jambatan luar bandar di seluruh Sarawak dengan peruntukan RM396 juta, termasuk usaha menggantikan jambatan lama atau rosak dengan kemudahan yang lebih selamat dan sesuai untuk kegunaan penduduk.
Program berkenaan turut mendapat perhatian dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Disember tahun lalu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh infrastruktur perhubungan di kawasan luar bandar.
Pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri menangani keperluan infrastruktur di kawasan yang sebelum ini bergantung kepada laluan dibina untuk aktiviti pembalakan, tetapi kini menjadi penghubung penting kepada komuniti setempat.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, beberapa lagi projek jambatan turut dilaksanakan di seluruh negeri, antaranya di Palo, Seribas 2, Rambungan, Limbang, Miri, Batang Lupar 2 dan Marina Bridge Miri.
Katanya, keadaan cuaca yang baik turut membantu melancarkan kerja-kerja pembinaan jalan raya dan jambatan di seluruh Sarawak.
Menurutnya, pembangunan jaringan jambatan tidak hanya tertumpu kepada projek berskala besar, sebaliknya kemudahan yang lebih kecil turut diberi perhatian kerana kepentingannya kepada masyarakat di kawasan pedalaman.
“Jambatan-jambatan ini mungkin kecil, tetapi ia penting kepada masyarakat di kawasan berkenaan,” katanya.
Pembangunan jambatan luar bandar itu turut melengkapi jaringan jambatan utama Sarawak, dengan 11 jambatan telah siap, manakala Jambatan Sejingkat bakal menjadi jambatan ke-12 apabila dibuka kepada pengguna pada 1 Oktober 2026.
Oleh Adele Rissa





