BINTULU: Sebanyak 50 bakul makanan disumbangkan oleh Yayasan Bintulu Port sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 melalui program tahunan Bintulu Port Prihatin.
Menurut satu kenyataan, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.
Penyerahan bakul makanan itu disempurnakan oleh Pengurus Besar Perhubungan Pihak Berkepentingan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Maslihah Tioh sambil disaksikan oleh Pengerusi Persatuan Penganut Tua Pek Kong Bintulu, Sim Yong Huat di Tua Pek Kong Bintulu di sini, semalam.
Program seumpama itu bertujuan membantu masyarakat berbangsa Cina yang bakal menyambut perayaan tersebut, serta memberi kegembiraan kepada para penerima sumbangan.
“Bintulu Port berharap agar sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat dan meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” ujar kenyataan itu.