KUCHING: Seramai 567, 435 orang kelainan upaya (OKU) seluruh negara berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Julai 2020.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof berkata, Sarawak mencatatkan pendaftaran OKU seramai 37, 673 orang.
“Saya yakin, ramai lagi OKU di luar sana yang tidak berdaftar dengan JKM kerana malu dengan stigma yang bakal menimpa mereka dan ahli keluarga.
“Ibu bapa perlu buang stigma tersebut kerana kita mahu bantu golongan istimewa ini bagi mendapatkan pelbagai bantuan dan manfaat dari JKM,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sentuhan Kasih, semalam.
Beliau turut berharap adanya jalinan kerjasama antara komuniti dengan JKM untuk pembangunan OKU.
“Pemimpin masyarakat turut digalakkan untuk memainkan peranan dalam mengenal pasti isu dan keperluan OKU setempat,” ujarnya.
Jelasnya lagi, OKU merupakan amanah daripada Allah SWT yang dipertanggungjawabkan kepada kita semua.
“Jangan biarkan hidup golongan istimewa ini terkapai-kapai tanpa sebarang pembelaan dan perhatian daripada mana-mana pihak.
“Kita perlu berganding bahu memastikan penjagaan, pendidikan, latihan, perkembangan fizikal, emosi dan pembangunan mereka agar tidak ketinggalan dalam setiap agenda dan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan,” tegasnya.
Turut hadir, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dato’ Sri Fatimah Abdullah.
Oleh Nur Ain Otsman