Sarawak mahu pelaburan teknologi, bukan sekadar gudang data – Abang Johari

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan selektif dalam meluluskan pelaburan pusat data (data centre) bagi memastikan pembangunan sektor itu memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri serta selari dengan perkembangan teknologi masa depan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, walaupun ramai pelabur berminat membangunkan pusat data di Sarawak berikutan kelebihan sumber tenaga yang dimiliki negeri ini, kerajaan tidak menerima semua cadangan secara automatik.

Menurut beliau, pusat data ketika ini lebih berfungsi sebagai tempat penyimpanan data, namun tidak menawarkan peluang pekerjaan yang besar kepada rakyat.

“Ramai yang mahu membina pusat data di Sarawak kerana kita mempunyai tenaga yang mencukupi. Namun, kita perlu lebih selektif kerana pusat data ini ibarat sebuah gudang untuk menyimpan data dan peluang pekerjaan yang diwujudkan adalah terhad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Reunion Alumni Global Universiti Nanyang di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berpandangan landskap teknologi akan terus berubah, malah pusat data dijangka mengalami evolusi dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang seiring perkembangan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, kemajuan teknologi semikonduktor generasi baharu dijangka membolehkan penyimpanan data dilakukan dengan lebih cekap berbanding kaedah sedia ada.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kilang Western Digital di Sarawak kini menjadi yang pertama di dunia menghasilkan cakera penyimpanan data berasaskan kaca, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri itu dalam industri teknologi tinggi.

Menurut beliau, perkembangan tersebut membuktikan Sarawak bukan sahaja menawarkan sumber tenaga yang stabil, malah mempunyai keupayaan untuk menyokong pembangunan industri berteknologi tinggi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan menerusi pendidikan bagi memastikan tenaga kerja tempatan bersedia memenuhi keperluan ekonomi digital dan teknologi masa depan.

“Ekonomi telah berubah dan pendidikan juga perlu disesuaikan dengan perubahan tersebut supaya kita mampu memainkan peranan dalam ekonomi global,” katanya.

Oleh Afiq Sallehi