KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuh sokongan kepada golongan ibu tunggal menerusi Program Kasih Nita yang menawarkan bantuan guaman, pengurusan kewangan serta perkongsian ilmu bagi meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program yang julung kali diadakan di Sarawak itu menghimpunkan 133 peserta daripada sasaran awal 150 peserta.
Menurut beliau, sepanjang program tiga hari itu, peserta didedahkan kepada pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Bank Negara Malaysia, Jabatan Bantuan Guaman (JBG) serta institusi Kehakiman Syarie.
“Kita bukan sahaja memberi ilmu berkaitan pengurusan kewangan dan bantuan guaman, malah mahu mendengar sendiri keperluan mereka supaya cadangan yang dikemukakan dapat dipertimbangkan dalam perancangan bajet akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) 2026 Peringkat negeri Sarawak di Kuching hari ini.
Nancy berkata, program itu bertujuan memastikan tiada wanita, khususnya ibu tunggal, tercicir daripada arus pembangunan serta mampu membina kehidupan yang lebih berdaya tahan.
Mengulas isu tuntutan nafkah anak, terutama melibatkan ibu tunggal bukan Islam, beliau berkata JPW bekerjasama dengan JBG bagi membantu mereka mendapatkan khidmat guaman.
Katanya, terdapat kes membabitkan perintah mahkamah yang telah dikeluarkan namun nafkah masih gagal dibayar oleh pihak bapa.
“Melalui kerjasama ini, mereka boleh mendapatkan bantuan guaman untuk meneruskan tuntutan nafkah, selain diberi sokongan kewangan dan moral agar mereka tidak berasa berjuang sendirian,” katanya.
Nancy turut memaklumkan kementeriannya sedang meneliti beberapa cadangan baharu bagi memperkukuh bantuan kepada wanita dan kumpulan sasar lain menerusi Belanjawan 2027.
Oleh Afiq Sallehi




