DEBAK: Tiada satu kaum pun di Sarawak mampu memerintah secara bersendirian, sebaliknya kestabilan politik, keamanan dan kemajuan negeri hanya dapat dikekalkan melalui kerjasama, persefahaman serta semangat saling menghormati antara seluruh masyarakat berbilang kaum dan agama.
Timbalan Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, realiti masyarakat majmuk di Sarawak menjadikan perpaduan sebagai tunjang utama dalam membentuk sebuah kerajaan yang kukuh, stabil dan berupaya membawa pembangunan berterusan kepada rakyat.
Beliau berkata, kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukanlah penghalang kepada pembangunan, malah merupakan kekuatan unik yang membezakan Sarawak daripada negeri-negeri lain.
“Kalau kita tidak bersatu padu, kita tidak akan dapat menikmati kestabilan dan tidak akan dapat mewujudkan kerajaan yang kukuh.
“Kita hanya akan menjadi kuat jika kita bersatu padu dan bekerjasama antara satu sama lain. Inilah asas kekuatan kita,” katanya ketika berucap pada Program Jalinan Mesra Pemimpin Bersama Rakyat Parti PBB Cawangan Saribas di Dewan Perpaduan, Debak, hari ini.
Awang Tengah menegaskan bahawa tiada mana-mana kaum mempunyai jumlah yang mencukupi untuk mentadbir negeri secara bersendirian, justeru kerjasama politik dan persefahaman antara semua kaum merupakan formula yang telah membolehkan Sarawak terus menikmati keamanan dan kestabilan sehingga kini.
Menurut beliau, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mencetuskan perpecahan atau menggugat keharmonian hubungan antara kaum dan agama kerana keamanan yang dinikmati hari ini merupakan aset paling berharga bagi Sarawak.
“Kestabilan politik yang berterusan telah membolehkan kerajaan mengurus sumber negeri secara berhemah, meningkatkan hasil negeri dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat di seluruh Sarawak,” katanya.
Menurutnya, kerajaan turut memberi keutamaan kepada pembangunan luar bandar dengan kira-kira 70 peratus daripada perbelanjaan pembangunan negeri disalurkan bagi meningkatkan kemudahan asas, infrastruktur serta taraf hidup penduduk di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, penubuhan agensi pembangunan wilayah seperti Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) membolehkan projek pembangunan dirancang mengikut keperluan sebenar rakyat melalui penglibatan wakil rakyat dan masyarakat setempat.
Selain pembangunan fizikal, Awang Tengah berkata kerajaan Sarawak turut memberi penekanan kepada kebajikan rakyat menerusi pelbagai inisiatif yang merangkumi pelbagai peringkat kehidupan, termasuk pendidikan, kesihatan dan bantuan sosial.
Dalam bidang pendidikan, beliau berkata kerajaan terus melabur dalam pembangunan modal insan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan ekonomi baharu.
Menurut beliau, penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain kemahiran berbahasa Inggeris dan Mandarin, perlu diperkukuhkan bagi membolehkan anak-anak Sarawak bersaing dalam sektor ekonomi digital, semikonduktor, minyak dan gas, aeroangkasa, pelancongan serta industri berteknologi tinggi.
Beliau berkata, pembangunan sektor pertanian dan perikanan juga akan diperkasakan melalui penggunaan teknologi moden, termasuk pelaksanaan projek agropark yang mampu meningkatkan produktiviti serta pendapatan rakyat.
Pada masa sama, beliau berkata dasar pembangunan yang konsisten dan kestabilan politik telah meningkatkan keyakinan pelabur untuk terus melabur di Sarawak, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, khususnya golongan muda.
Sehubungan itu, Awang Tengah menyeru seluruh rakyat Sarawak supaya terus mempertahankan perpaduan, semangat toleransi dan kerjasama yang sekian lama menjadi asas kepada kejayaan negeri, sambil menegaskan bahawa kekuatan PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus menjadi pemangkin kepada kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan demi kesejahteraan seluruh rakyat.
Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 1,000 ahli parti memenuhi Dewan Perpaduan, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan sokongan padu terhadap kepimpinan PBB serta GPS.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam; Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu; ADUN Beting Maro, Datuk Razaili Gapor serta ADUN Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir.
Oleh Adi Safarman




