MARUDI: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marudi mengambil masa kira-kira 35 minit untuk membersihkan sebatang pokok pinang yang tumbang dan menghempap pagar sebuah rumah di Kampung Narum, di sini, petang semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Marudi menerima panggilan daripada orang awam pada 3.15 petang yang memaklumkan kejadian berkenaan.
“Susulan itu, sepasukan anggota APM daripada Skuad Alpha yang terdiri daripada tiga anggota diketuai Sarjan (PA) Siti Naquiah Abdullah segera digerakkan ke lokasi kejadian, yang terletak kira-kira 200 meter dari PKOD,” katanya.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan APM menjalankan kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang sebelum membersihkan kawasan bagi memastikan keadaan kembali selamat.
Operasi tamat sepenuhnya pada 4.13 petang.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Oleh Jiku Juguong
