
SARATOK: Seramai 31 ahli Majlis Daerah Saratok (MDS) termasuk pengerusi telah mengangkat sumpah dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Masyarakat Sri Krian di sini, hari ini.
Daripada jumlah itu, seramai empat orang muka baharu dan 27 orang lagi adalah muka lama yang dilantik semula.
Upacara angkat sumpah pengerusi majlis dan ahli-ahli MDS telah diketuai oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid yang juga Pengerusi Majlis Daerah Saratok dan diikuti 30 orang lagi ahli-ahli majlis.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Mee Tee bertempat di Dewan Masyarakat Sri Krian, hari ini.
Mohamad Duri turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada pengerusi dan semua ahli majlis sama ada yang dilantik semula dan muka baharu bagi sesi 2025-2028.
“Saya berharap semua ahli majlis atau kaunselor yang telah dilantik itu dapat memainkan peranan dan tanggung jawab masing-masing dengan penuh amanah dan memainkan peranan yang penting untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Saya yakin di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Daerah Saratok selepas ini akan membangun dengan pesat,” katanya.
Mohamad Duri berkata ahli-ahli majlis juga merupakan wakil kepada ADUN di peringkat akar umbi bagi setiap kawasan dan menjadi jambatan di antara kerajaan dengan rakyat.
“Maksudnya, apa jua rintihan, isu yang didapati di peringkat akar umbi, anda mestilah membawanya kepada wakil rakyat dan juga kerajaan Sarawak.
“Begitu juga apa-apa jua polisi yang telah digubal oleh kerajaan Sarawak, anda bertanggung jawab untuk menyampaikannya kepada rakyat di peringkat akar umbi dan janganlah ambil ringan tugas sebagai ahli majlis,” jelasnya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, ADUN Krian, Friday Belik dan wakil Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Bong Lin Sze.
Oleh Adi Safarman