KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti akan pastikan 20 hotel yang bakal menjadi perkampungan sukan mempunyai kemudahan yang diperlukan oleh atlet dari 15 kontinjen Para Sukan Malaysia (SUKMA).
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bagi memudahkan lagi urusan atlet Para SUKMA itu nanti, mereka akan digandingkan agar boleh membantu antara satu sama lain.
“Hari ini saya melihat bilik, lifnya, dan tandas. Kita lihat kemudahan untuk atlet yang berkerusi roda. Pintu bilik dan lif perlulah luas, kalau ia kecil, kerusi roda tidak dapat masuk.
“Selain itu kita juga akan melihat tandas, ada atau tidak rel tangan untuk mereka pegang ketika berada di dalam tandas.
“Selain itu kalau kita lihat biliknya, ia bukan bilik untuk seorang, bilik ini untuk dua orang. Ini juga satu kemudahan, yang boleh membantu atlet kerana mereka boleh membantu antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatannya ke salah satu perkampungan sukan di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Fatimah menyatakan bahawa 20 hotel ini bakal menempatkan 1,290 atlet, pihak urus setia kontinjen, pengurus pasukan, pegawai pasukan, ketua kontinjen dan pihak teknikal menjadikan keseluruhan 3,027, akan menetap di hotel/hotel yang telah disediakan.
Katanya, kontinjen Sarawak sendiri akan ditempatkan di Hotel Imperial.
Dalam pada itu, setakat ini, kata Fatimah, tahap persediaan fasiliti perkampungan Para SUKMA kali ini sudah mencapai tahap 80 peratus.
“Kalau kita lihat dari segi jawatankuasa yang telah ditubuhkan, sebanyak 27 jawatankuasa kecil ditubuhkan. Kita boleh katakan dari segi kesiapsiagaan untuk Para SUKMA sudah mencapai 80 peratus.
“Jadi apa yang tinggal adalah kita perlu lihat dari segi mereka yang menggunakan kerusi roda, dapat atau tidak kerusi roda untuk masuk tandas, kalau tidak, ia perlu diubahsuai.
“Selepas itu untuk mereka yang kerdil dan mereka yang cacat penglihatan, macam mana masa makan mereka, mungkin kita perlu ubah suai sedikit. Perhatian khusus perlu diberikan agar memudahkan mereka untuk makan, macam mana untuk mengurangkan pergerakan mereka, jadi perkara ini perlu diubah suai sedikit, “jelasnya.
Para SUKMA 2024 yang akan berlangsung pada 22 hingga 28 September ini akan mempertandingkan 328 acara daripada 10 jenis sukan.
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Gambar
PANTAU KEMUDAHAN… Dato Sri Fatimah Abdullah memeriksa kemudahan di salah satu perkampungan sukan.