BETING MARO: Kesukaran hidup yang terpaksa ditempuhi sejumlah 1,500 keluarga asnaf dalam kawasan Parlimen Batang Lupar berhubung perlaksanaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini telah pun mendapat perhatian kerajaan.
Ia terbukti apabila kesemua keluarga asnaf tersebut menerima bantuan makanan yang disalur oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim menerusi Pusat Khidmat Wakil Rakyat P.201 Batang Lupar di sini.
“Kesemua 1,500 keluarga asnaf berkenaan datangnya dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau, DUN Lingga dan DUN Beting Maro dalam kawasan Parlimen Batang Lupar.
“Setiap 1,500 keluarga asnaf dari DUN-DUN ini telah pun menerima bantuan makanan tersebut menerusi Program Sentuhan Rohani yang dikendali oleh pihak Pusat Khidmat Wakil Rakyat P.201 Batang Lupar,” kata Rohani.
Beliau turut memberitahu bantuan makanan daripada kerajaan ini akan dapat meringankan lagi bebanan penduduk yang terjejas teruk akibat penularan pandemik Covid-19 pada masa sekarang.
Malahan pemberian bantuan makanan ini katanya akan dapat mengurangkan masa penduduk untuk keluar rumah mencari makanan yang dilihat boleh mendedahkan diri mereka terhadap jangkitan pandemik berbahaya itu nanti.
“Justeru diharap agar penduduk terutama sekali daripada golongan asnaf dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga di samping bersabar dalam menghadapi masalah penularan pandemik COVID-19 pada masa sekarang,” kata Rohani.
Beliau juga turut memberitahu bantuan dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak juga akan disalurkan dalam tempoh terdekat ini bagi membantu penduduk yang terjejas akibat penularan COVID-19.
Terdahulu bantuan makanan daripada kerajaan yang disalur menerusi Rohani berkenaan telah pun diagih oleh tiga orang wakilnya di setiap DUN Beting Sebuyau, DUN Lingga dan DUN Beting Maro di sini. Untuk DUN Beting Maro, bantuan makanan kerajaan telah disampaikan oleh Kaunselor Dato Lim Kian Choon dengan Zaleha Jamal dan Churchill pula masing-masing menyampaikan bantuan itu bagi kawasan DUN Lingga serta DUN Sebuyau.