LAWAS: Hospital Lawas baharu berkapasiti 76 katil diharap dapat berkembang menjadi hospital berpakar, sekali gus mengurangkan kebergantungan penduduk kawasan itu terhadap hospital yang jauh.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata ketika ini, kekangan sumber manusia menyebabkan pengisian jawatan di hospital berkenaan masih belum lengkap dan keadaan itu akan ditambah baik apabila sumber manusia tambahan diperoleh.
“Saya berharap agar doktor pakar, insya-Allah akan menetap di Hospital Lawas berbanding dengan doktor pakar lawatan yang berjadual.
“Keperluan rakyat untuk mendapatkan rawatan pakar memang sukar kerana terpaksa dihantarkan ke hospital yang jauh. Saya berharap hospital ini akan menjadi hospital berpakar,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Hospital Lawas di sini, hari ini.
Hospital baharu itu dilengkapi dengan antaranya dua bilik pembedahan, dapur sajian pesakit, makmal ICT yang membolehkan konsultasi jarak jauh dengan pakar perubatan, sembilan mesin hemodialisis serta 76 katil termasuk empat katil Wad Kebergantungan Tinggi.
Hanifah berkata faktor geografi menjadikan kemudahan kesihatan lebih lengkap di Lawas penting kerana pesakit yang memerlukan rawatan rujukan sebelum ini perlu mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk ke Limbang dan kira-kira tiga jam setengah ke Miri melalui laluan tertentu.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang turut hadir pada majlis itu berkata projek Hospital Lawas bernilai RM183 juta itu dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2, Jabatan Kerja Raya sejak 30 Jun 2020 menerusi kaedah Reka dan Bina oleh MCS Management Sdn Bhd.
Beliau berkata hospital itu diharap dapat meningkatkan akses masyarakat kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti serta menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan di Lawas. – Bernama




