KUCHING: Sebanyak 15 keluarga dari Kampung Selipar Putus, Tabuan, menerima bantuan makanan pada Program Turun Padang Jawatan Wanita dan Keluarga (JWKS) di sini, semalam.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, melalui program seperti itu pihaknya dapat mengetahui masalah yang dihadapi masyarakat yang memerlukan.
Katanya, hasrat kerajaan adalah supaya rakyat Sarawak yang dalam keadaan susah perlu diberi bantuan sewajarnya sama ada melalui kerajaan mahupun bantuan yang diberikan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO).
“Mereka yang sangat memerlukan ini kadang-kadang tidak tahu ada bantuan, cara mendapatkan bantuan dan ada juga yang tidak tahu jenis bantuan yang disediakan oleh kerajaan.
“Bila turun padang seperti ini, kita boleh memberi nasihat kepada mereka dan kita juga boleh meminta agensi tertentu untuk menolong keluarga yang memerlukan ini,” katanya ketika ditemui media pada Program Turun Padang JWKS di sini, semalam.
Fatimah turut menjelaskan bahawa, melalui program seperti itu kementeriannya dapat mengetahui bantuan dan keperluan yang sewajarnya diberikan kepada mereka yang memerlukan.
“Kita menggunakan kesempatan ini untuk melawat beberapa rumah supaya kita dapat melihat selain daripada makanan dan bantuan lain yang sewajarnya untuk jangka masa panjang.
“Melalui lawatan ini, kita dapati ada seorang kanak-kanak darjah tiga yang mempunyai masalah dari segi pertuturan yang sangat terhad dan saya sarankan kepada ibu bapa supaya anak ini dibawa ke One-Stop Early Intervation Centre (OSEIC) untuk membuat ujian diagnostik bagi mengetahui jenis kecacatan yang dihadapi dan pemulihan yang diperlukan untuk anak ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fatimah turut mengucapkan penghargaan kepada NGO dan orang persendirian di atas sumbangan makanan yang dihulurkan.
“Terima kasih kepada Raja Noor dan Shentel dan rakannya di atas usaha dalam memastikan derma ini dapat disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.
“Ini yang kita mahu, setiap orang memberi dengan cara masing-masing walaupun sedikit tetapi dengan hati yang ikhlas, ia sangat bermakna,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO